syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyampai radio, Kai Hassan meluahkan rasa syukur kerana dapat membawa kegembiraan buat dua sahabatnya, Shuib dan Mamat Sepah dan merealisasikan impian menunaikan umrah di Tanah Suci, Aidilfitri nanti.
Kai berkata, dia juga sudah tahu mengenai agensi umrah dan pelancongan, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd dan kerana itu, dia meletakkan kepercayaan untuk memperkenalkannya kepada Shuib dan Mamat.
“Saya dah kenal Nuh Travel ini dah lama dan kami percaya dengan syarikat ini kerana dah lama dalam bidang pelancongan ini.
“Kebetulan pula, orang kuat Nuh Travel menghubungi saya dan luahkan hasrat untuk mengajak Mamat sekali sertai kami.
“Kebetulan, saya baru lepas WhatsApp Mamat dan saya cakap, Insya-Allah, ada rezeki lain.
“10 minit kemudian, saya hubungi dan maklumkan kepada Mamat untuk teruskan hasrat Shuib membawa Mamat ke Tanah Suci.,” katanya kepada Harian Metro.
Lebih manis lagi, Kai yang sepatutnya mengerjakan umrah pada Disember akan datang, mendapat peluang untuk melakukannya lebih awal.
“Ikutkan, saya nak ke Tanah Suci pada Disember nanti. Tapi, asbab saya ajak mereka pada tanggal hari lahir saya pada 19 Januari, Shuib dan Mamat cakap, mereka bawa saya sekali sebagai hadiah hari jadi.
“Saya dan Shuib tak banyak kali berjumpa, tapi mereka bersungguh-sungguh ajak saya dan ajak saya bawa isteri saya,” katanya.
Kai akan menunaikan umrah bersama isterinya serta keluarga Shuib dan Mamat pada Aidilfitri nanti.
Terdahulu, Shuib dan Mamat memuat naik video mengenai penarikan diri daripada menunaikan umrah bersama agensi sebelum ini di Instagram.
Penarikan diri itu dibuat selepas muncul pelbagai masalah yang diluahkan oleh orang awam yang pernah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi umrah dan pelancongan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




