Amirul Fazli Zulkafli
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong berharap mereka dapat mengekalkan prestasi cemerlang itu di Terbuka Singapura yang akan bermula esok (hari ini).
Jelas Wei Chong, meskipun masih segar dengan gelaran juara Masters Malaysia semalam, dia tidak mahu terus dibuai mimpi indah dan cepat berpuas hati sebaliknya perlu terus fokus agar mereka dapat meneruskan momentum cemerlang itu.
“Untuk saya, kita kena tengok beberapa kejohanan lagi sebab sebelum ini, selepas final, prestasi kita sering merudum. Jadi, kita pun tak tahu lagi minggu ini macam mana.
“Tapi kena bersedia kerana juara hari ini (semalam) adalah perkara yang lepas. Sekarang kita siap sedia untuk pertandingan di Terbuka Singapura pula dan berharap boleh buat terbaik di sana termasuk di Terbuka Indonesia (awal bulan Jun),” katanya selepas tamat perlawanan akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, semalam.
Untuk pusingan pertama nanti, Kai Wun-Wei Chong akan bertemu pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dan dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.
Sekiranya berjaya ke suku akhir, wakil negara itu dilihat bakal bertemu sekali lagi dengan senior mereka yang juga pilihan ketiga kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Sebagai makluman, rekod mereka di Terbuka Singapura dilihat kurang baik apabila tiga edisi berturut-turut mereka tewas seawal pusingan kedua.
Melihat momentum sekarang, beregu kelapan dunia itu berada di landasan tepat untuk menghapuskan badi itu dan memburu kejuaraan ketiga musim ini selepas meraih gelaran pertama di Masters Indonesia pada awal Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




