aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kajang Inline Speed Skating Cup 2024 berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 178 atlet dari 20 pasukan, termasuk membabitkan peserta dari luar negara.
Antara negara luar yang mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Kajang itu adalah Indonesia, Singapura, China, Amerika Syarikat, Filipina, dan Bangladesh.
Presiden Persekutuan Skate Malaysia (Myskate), Idroose Tambarin berkata, pertandingan yang berlangsung baru-baru ini itu, bertujuan untuk mempromosikan sukan roller skating di Malaysia serta mencari bakat-bakat baru sebagai pelapis masa depan.
Katanya, ia bukan sahaja untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kepelbagaian sukan tetapi juga untuk meningkatkan penyertaan daripada kelab dan atlet Malaysia.
“Sambutan terhadap kejohanan ini kali ini sangat menggalakkan, menunjukkan minat yang tinggi di kalangan atlet muda terhadap sukan ini.
“Ini adalah penganjuran kali kedua selepas kejohanan pertama yang diadakan pada 7 hingga 9 Jun 2024 sempena Kejohanan Skate Kebangsaan di Stadium Kajang.
“Justeru saya berharap penganjuran seperti ini dapat menarik lebih ramai penggiat sukan roller skating, memandangkan sukan ini pernah dipertandingkan di Sukan Sea 2011,” katanya.
Pertandingan ini menawarkan tiga kategori utama iaitu bagi pemula membabitkan kategori A hingga F untuk mereka yang berumur dari 4 hingga 15 tahun.
Bagi kategori recreation adalah untuk ukuran tayar maksimum 80mm, terbuka untuk peserta berumur 4 hingga 19 tahun dari negara luar dan kategori C iaitu Speed bagi atlet yang menggunakan tayar lebih daripada 80mm, juga untuk umur 4 hingga 19 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




