latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) meminta kerajaan mempertimbang sama ada strategi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkesan dalam membendung penularan wabak COVID-19.
Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan SAMENTA, Datuk William Ng, berkata penelitian perlu dilakukan jika ada cara yang lebih baik untuk menangani wabak itu.
“Tinjauan pertengahan tahun SAMENTA yang dilakukan bulan lepas menunjukkan kira-kira 30 peratus PKS mempunyai simpanan tunai kurang daripada satu bulan.
“PKP di seluruh negara dan PKP Diperketat (PKPD) di Selangor menyebabkan mustahil bagi kebanyakan PKS untuk meneruskan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan memandangkan mengikut tinjauan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, ramai pemilik PKS mengalami masalah ‘business fatigue’dan kesihatan mental.
“Sudah ada berita PKS yang enggan mengikuti SOP dengan menjalankan perniagaan mereka, walaupun didenda atau diambil tindakan penguatkuasaan lain.
“Ketidakpatuhan sosial atau seperti ini tidak pernah terjadi sebelum ini dan menunjukkan betapa terdesaknya kebanyakan PKS, terutamanya PKS mikro,” katanya.
Beliau menyarankan supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula secepat mungkin dengan SOP yang ketat.
“Gunakan tenaga barisan hadapan yang menjaga sekatan jalan raya dan yang membuat lawatan mengejut untuk menguatkuasakan SOP tanpa pilih kasih.
“Mereka yang tidak ikut SOP, kita hentikan (perniagaan) selama 14 hari. Tetapi yang mengikut SOP dengan penjarakan sosial dan separuh tenaga pekerja, harus dibenarkan secepat mungkin,” katanya.
Ng berkata, kerajaan juga tidak patut membezakan perniagaan berdasarkan yang perlu dan yang tidak perlu.
“Sekiranya selamat untuk membuka kembali mana-mana sektor, tidak ada alasan mengapa sektor lain tidak dibuka semula, melainkan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan.
“SAMENTA dan persatuan-persatuan lain bersedia membantu memastikan PKS mematuhi SOP yang diperketat, sekiranya dibenarkan beroperasi secepat mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




