bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menilai kajian berhubung pelaksanaan had laju 30 dan 50 kilometer sejam (km/j) dalam zon terpilih sekitar ibu negara demi kepentingan semua pihak.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata cadangan mengenai perkara itu masih pada peringkat kajian dan hasilnya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pelbagai pandangan diambil kira bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan pelaksanaannya, supaya memberi manfaat kepada semua.
“Kita tahu banyak benda yang dibuat ada yang bersetuju dan sebaliknya, kita melihat lebih kepada kesesuaian serta penerimaan semua pihak.
“Kita terima semua pandangan berhubung perkara ini dan kita ambil kira semuanya. Apa yang penting matlamat tercapai dan rakyat gembira,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.
Media pada 8 Januari lalu memetik Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh melalui Twitternya, memaklumkan institut itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30km/j di zon terpilih di ibu negara dan 50km/j bagi zon lain.
MIROS mencadangkan had laju 30km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk 2021 hingga 2030.
Cadangan had laju itu juga sebahagian daripada kempen ‘Street for Life’ di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGRSW) ke-6 yang menyasarkan pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.
Ditanya terdapat syarikat dan sektor kerajaan dikatakan beroperasi semalam walaupun diumumkan sebagai cuti ganti Hari Wilayah, Shahidan berkata, tiada halangan untuk mereka beroperasi.
“Disebabkan cuti Hari Wilayah bersekali cuti Tahun Baharu Cina selama dua hari, jadi kita beri tambahan cuti.
“Jika ada mana-mana pihak ingin teruskan aktiviti mereka, tiada masalah cuma kemudahan (cuti ganti) kita unjurkan kepada semua pihak,” katanya.
Mengulas kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan, beliau berkata, sebanyak 100,000 bendera diedarkan membabitkan 71,000 bendera di Kuala Lumpur, 15,530 di Putrajaya dan 18,000 di Labuan.
Katanya, kempen berkenaan turut dilaksanakan di tiga pusat beli-belah terkemuka dan berharap warga kota juga mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan bagi sama-sama menyemarakkannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




