Kak Ani kekal pertahan akar budaya

Kak Ani kekal pertahan akar budaya

syafil.syazwan@hmetro.com.my

POPULARITI muzik moden dan tarian kontemporari yang mendominasi jiwa anak muda masa kini, masih ada pejuang yang tidak pernah lelah mempertahankan akar budi bangsa. Siapa lagi jika bukan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris.

Baru-baru ini, bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani membuktikan bahawa kecintaannya terhadap warisan tradisi bukan sekadar kata-kata.

Melalui penganjuran Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia (TERMA 2025), dia membawa satu misi besar dengan menyuntik nafas baharu kepada identiti nasional.

Kak Ani berkata, penganjuran TERMA 2025 membabitkan penyertaan dari 10 negara Asia yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu adalah langkah awal.

“Insya-Allah, perancangan kami adalah untuk membawa program ini ke peringkat Asia atau antarabangsa pada Jun depan. Namun, kami perlu selesaikan peringkat kebangsaan dahulu untuk memilih kumpulan terbaik.

“Penganjuran kali ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran edisi kedua itu, Kak Ani mengakui ia lebih mencabar kerana membabitkan generasi pelapis seawal usia tujuh tahun.

“Cabaran kali ini adalah kekangan masa kerana persiapan hanya dilakukan dalam tempoh dua minggu. Selain itu, faktor musim cuti sekolah juga memberi kesan kepada jumlah penyertaan.

“Daripada 25 kumpulan yang mendaftar awal, hanya sembilan kumpulan terbaik terpilih ke peringkat akhir selepas proses saringan yang ketat,” katanya.

Bagi Kak Ani, matlamat utama TERMA bukan sekadar pertandingan tarian, sebaliknya mahu mendidik generasi muda mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia yang jarang diketengahkan.

“Ramai yang pandai menari dengan cantik, tetapi kurang pengetahuan mengenai sejarah etnik seperti Minang, Bugis dan Banjar. Saya mahu mereka kenali akar budaya kita menerusi tema ‘Evolusi Etnik’ ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Dikir Puteri ini bakal mengubati kerinduan peminat apabila dijadualkan masuk ke studio rakaman pada 20 Januari ini.

“Dah lama saya tidak keluarkan lagu baharu. Untuk tahun ini, saya mahu perbanyakkan lagi bahan lagu etnik dengan susunan muzik yang lebih segar mengikut cita rasa generasi muda, hasil kerjasama dengan komposer berpengaruh,” katanya.

Terdahulu, acara TERMA 2025 berlangsung selama tiga hari yang diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk Pertandingan Bintang Irama Etnik, Bintang Legasi Etnik Malaysia serta Pertandingan Busana Etnik Paling Glamor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top