Kak Ani puji Hafiz Hamidun, kebolehan seperti arwah Pak Ngah

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun meluahkan rasa terharu dan segan apabila cara kerjanya dalam penciptaan lagu dipuji Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris selain menyamakannya dengan komposer terkenal, Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Menurut Hafiz, 42, dia menganggap dirinya tidak layak untuk dibandingkan dengan maestro berkenaan serta tiada pengganti yang boleh menggantikan tempatnya.

“Saya sebenarnya segan dan rasa diri saya tidak boleh dibandingkan langsung dengan arwah Pak Ngah. Arwah Pak Ngah merupakan idola saya dan untuk lagu-lagu tradisional, Pak Ngah memang tiada pengganti.

“Saya terharu dengan pandangan Kak Ani (Noraniza Idris) kerana dia lebih mengenali arwah Pak Ngah. Sejujurnya, saya hanya mengenali Pak Ngah menerusi karya-karyanya sahaja. Saya tidak pernah jumpa dan tidak pernah bekerjasama dengan Pak Ngah.

“Saya pernah datang sekali ke studio Pak Ngah, namun siapa saya kalau nak dibandingkan dari segi cara kerja dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagaimanapun, Hafiz menzahirkan rasa terima kasih atas penghargaan berkenaan memandangkan ia datang daripada seorang penyanyi yang berpengalaman luas dan pernah bekerjasama dengan Allahyarham Pak Ngah.

“Tetapi saya ucapkan terima kasih bila Kak Ani, orang yang dah lama bekerja dengan arwah Pak Ngah, memberikan gambaran sedemikian.

“Saya anggap itu bukan satu publisiti semata-mata sebab saya akan buat lagu baru akan datang untuk Kak Ani. Kak Ani pun kata dia dah tunggu bertahun-tahun, mungkin tujuh, lapan tahun untuk lagu yang sesuai.

“Kebetulan rezeki itu jatuh di tangan saya. Jadi saya cuba buat yang terbaik. Umur saya bukan muda lagi, saya dah masuk 42 tahun. Saya pun ada matlamat dan sasaran sendiri. Saya tidak boleh berada dalam zon selesa sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama dia bekerjasama dengan Noraniza dan menyifatkannya sebagai peluang untuk terus berkembang sebagai pengkarya.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Kak Ani. Saya perlu banyak belajar dan tidak hanya terhad kepada genre lagu-lagu Islamik semata-mata.

“Jika saya mahu melangkah satu tapak ke hadapan, saya perlu belajar dengan berjumpa ramai orang serta memahami cara kerja penggiat seni yang lain,” kongsinya.

Sebelum ini, Noraniza meluahkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan Hafiz selain turut memuji sifat profesional Hafiz yang disifatkan mirip arwah Pak Ngah kerana memiliki jati diri dan jiwa Melayu yang begitu mendalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top