Kaka Azraff Anggap Ujian Rumah Tangga Sebagai Pengajaran, Bukan Kegagalan – “Tiada Apa Yang Perlu Disesali…”

Kaka Azraff Anggap Ujian Rumah Tangga Sebagai Pengajaran, Bukan Kegagalan – “Tiada Apa Yang Perlu Disesali…”

Penyanyi rap, Kaka Azraff melihat pengalaman rumah tangga yang dilaluinya sebelum ini bukan sebagai kegagalan, sebaliknya satu titik perubahan dalam kehidupan yang menjadikan dirinya lebih matang dan positif.

Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Noor Azraff berkata, setiap ujian yang berlaku pasti terselit hikmah untuk diambil sebagai pengajaran.

“Siapa kata gagal, siapa kata berjaya? Kita sendiri tidak tahu. Saya anggap ia turning point yang mendidik saya menjadi lebih dewasa.

“Tidak ada apa yang perlu disesali kerana perancangan Allah adalah yang terbaik.

“Saya bahagia, anak-anak dan keluarga juga bahagia, itu lebih penting,” katanya ketika ditemu bual program Melodi TV3.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Bukan Hal Aku ini berkata dia kini lebih selesa menumpukan perhatian kepada masa depan berbanding terus dibayangi kisah lalu.

“Saya sudah melalui fasa itu. Kini saya mahu terus melangkah ke hadapan. Hidup lebih mudah, gembira dan saya dalam fasa menikmati kehidupan tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa, selain untuk diri sendiri, anak-anak dan orang tersayang,” katanya.

Menyentuh mengenai sikapnya yang kini jarang berkongsi kehidupan peribadi, Kaka menjelaskan dia lebih memilih untuk hanya menampilkan perkara positif di media sosial.

“Tiada apa-apa yang berlaku, cuma saya lebih selesa untuk ‘layback’ dan fokus pada karier. Media sosial boleh jadi toksik, jadi lebih baik saya kongsi perkara yang baik sahaja.

“Jangan risau, semuanya baik-baik sahaja. Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan keluarga,” ujarnya.

Sekadar info, Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Pasangan berkenaan pernah bercerai pada Oktober tahun lalu sebelum kembali rujuk pada Januari lalu.

Namun begitu, desas-desus rumah tangga Kaka dan Adam kini menjadi sebutan semula selepas didakwa bergolak kembali.

Artikel Berkaitan: “Bukan Niat Nak Elak, Tapi…” – Rumah Tangga Didakwa Kembali Bergolak, Ini Respons Kaka Azraff

Artikel Berkaitan: “Dia Sudah Matang, Jadi Terpulang…” – Ella Hormati Privasi, Enggan Ulas Dakwaan Rumah Tangga Kaka Azraff Kembali Bergolak

Scroll to Top