Penyanyi popular, Kaka Azraff dikatakan sah bercerai talak satu dengan suaminya, Adam Azriff.
Pengesahan lafaz cerai yang dilakukan secara ekspres itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, tengah hari tadi.
Memetik laporan sumber yang enggan dikenali berkata, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, dilihat hadir ke mahkamah seawal jam 9 pagi tadi.
“Puncanya memang dia tak beritahu dan tak kongsi pun hal peribadi. Selama ini mereka macam suami isteri lain, tak nampak pula masalah besar,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Gila itu juga dilaporkan masih baik dengan bekas suaminya dan sepakat dalam penjagaan tiga anak mereka.
“Saya difahamkan Kaka belum sedia untuk membuka mulut berhubung perceraian yang sudah disahkan di mahkamah hari ini.
“Kita doa yang baik-baik sahaja untuk mereka dan anak-anak. Mereka pun masih bersahabat dan menjaga anak-anak sama-sama,” jelasnya.
Berdasarkan pemerhatian XTRA di ruangan Instagram, Kaka masih menyimpan foto-foro bersama suaminya bagaimanapun foto terakhir yang dimuat bersama adalah pada 2 Januari lalu.
Sekadar info, Kaka dan Adam difahamkan menjalin hubungan cinta selama tiga bulan sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam, 15 bulan.
Sumber: Kosmo




