am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Kaka Azraff mendedahkan dia banyak belajar cara membawa diri dalam industri seni tanah air daripada ibu saudaranya, Ratu Rock, Ella, 59.
Kaka atau namanya sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata dia juga tiada masalah jika ada peminat mahu bergambar dengannya jika bertemu di luar.
“Alhamdulillah, setakat ini, saya tak dengar lagi ada peminat yang cakap saya sombong dan sebagainya.
“Mungkin sebab saya banyak belajar dari makcik saya (Ella) macam mana dia bawa diri dalam industri seni. Saya rasa banyak contoh yang saya ikut dari dia,” katanya.
Ditanya jika dia pernah berdepan dengan peminat yang merimaskan, kata Kaka, setakat ini, semua peminat yang ditemuinya masih okay.
“Setakat ini, saya tidak pernah lagi rasa sebegitu (rimas) sebab gelagat peminat yang datang nak bergambar nampak ‘comel’ sahaja. Sebab saya sendiri pun ada artis yang saya minat dalam industri seni.
“Saya pun tidak ada masalah jika ada peminat yang mahu bergambar walaupun tidak mengenakan sebarang solekan, sebab saya jadi orang biasa bila tidak bekerja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




