Kaka enggan ulas status rumah tangga

Kaka enggan ulas status rumah tangga

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam : “Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan Adam (suami),” kata penyanyi, Kaka Azraff ketika diminta mengulas mengenai situasi yang melanda rumah tangganya bersama suami, Adam Azriff ketika ini.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, yang ditemui di majlis pelancaran Galeri Rockqueen Ella malam tadi berkata, dia tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai status rumah tangganya buat masa sekarang.

“Sebenarnya saya bukan nak mengelak, saya pun menghormati rakan media dan netizen yang ingin tahu mengenai hal rumah tangga saya.

“Cuma sekarang ini untuk saya beri kenyataan, benda pun tidak ada yang nyata lagi jadi saya tak mahu bercakap lebih lanjut.

“Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya mohon doa daripada semua,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu lagi, banyak hati yang perlu dijaga dan enggan menimbulkan spekulasi yang boleh memacu kepada fitnah.

“Hal ini membabitkan ramai orang. Sebelum ini ada orang kata sampai bila saya nak lari. Saya tidak melarikan diri, cuma sedang menjaga banyak hati.

“Saya rasa kalau saya buka cerita ini (kisah keluarga), ia boleh menimbulkan fitnah. Jadi saya harap menghormati keputusan saya untuk tidak lagi berkongsi apa-apa.

“Alhamdulillah saya bahagia di samping anak-anak dan keluarga. Sekiranya ada pengesahan mengenai status saya selepas ini, mungkin saya akan kongsikan untuk mengelakkan fitnah,” katanya.

Kaka turut memaklumkan akan ‘membongkarkan’ semuanya menerusi album sulung yang kini dalam proses pembikinan.

“Selepas ini anda mungkin boleh menyelami hati saya menerusi lagu-lagu dalam album terbaharu nanti.

“Buat masa ini saya sudah merakamkan enam buah lagu dan kesemuanya adalah luahan hati dan apa yang saya lalui.

“Kebanyakan lagu ditulis oleh saya sendiri dan ceritanya adalah sangat dekat dengan diri saya,” katanya.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga anak iaitu Aslan, 6, Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.

Sebelum ini, pasangan ini bercerai talak satu dan pengesahan itu dibuat secara ekspres di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 28 Oktober tahun lalu sebelum kembali rujuk pada Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top