Kakak beri semangat, berdoa rumah tangga Nora berpanjangan

Kakak beri semangat, berdoa rumah tangga Nora berpanjangan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, meluahkan rasa syukur kerana mendapat sokongan kakaknya, Wan Shuraya yang turut menemaninya ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Nora, 53, berkata kakaknya umpama kaunselor peribadi yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan dan permasalahan selain anak-anak.

“Dia datang hari ini bagi sokongan dekat saya. Dialah kakak saya yang sentiasa mengikuti perkembangan kami dan selalu jadi kaunselor (keluarga) kami.

“Anak-anak saya ada, tapi anak-anak saya sendiri lebih kepada tak nak campur urusan Mama dan juga Walid (Dr Rushdi Ramli).

“Mereka lebih percaya apa saja keputusan itu yang terbaik untuk Mama, mereka tak campur,” katanya.

Sementara itu, Wan Shuraya, 69, berkata setiap permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga adalah dugaan buat pasangan suami isteri dan dia yakin jodoh adiknya bersama Rushdi masih panjang.

“Hidup dalam rumah tangga banyak dugaan. Jadi lalui dengan baik, ya. Apa-apa saja masalah cuba selesaikan bersama-sama dan saya rasa jodoh mereka masih panjang.

“Alhamdulillah, hari ini nampak keceriaan dan saya harap benda ini berkekalanlah tanpa ada apa-apa lagi gangguan daripada pihak-pihak ketiga,” katanya.

Hari ini, Hakim Syarie Ahmad Faizul Ashar membenarkan permohonan penarikan balik perceraian antara Nora dan Rushdi dan pasangan itu bersetuju untuk meneruskan rumah tangga mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top