Kakak bunuh adik OKU gara-gara kuah kacang pecal

Kakak bunuh adik OKU gara-gara kuah kacang pecal

JAKARTA – Misteri kematian seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental, Choiriyah, 47, akhirnya terungkai selepas polis mendedahkan mangsa maut di tangan kakak kandungnya sendiri, Suparni, 61, dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Dusun Jogoroto, Kecamatan Jogoroto.

Polis mendedahkan motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada isu remeh membabitkan kuah kacang pecal yang dihabiskan mangsa, sekali gus mencetuskan kemarahan suspek sehingga berlaku tragedi berdarah.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Jombang, AKP Magribi Agung Saputra berkata, kejadian berlaku pada 12 Jun 2026 sekitar jam 10 pagi waktu tempatan apabila suspek mendapati stok kuah kacang pecal yang disimpan di dapur telah habis dimakan oleh adiknya.

“Suspek mengaku melakukan penganiayaan kerana sakit hati selepas mendapati kuah kacang pecal sekitar satu kilogram telah dihabiskan oleh mangsa,” katanya dipetik media tempatan pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pertengkaran di ruang dapur kemudiannya bertukar menjadi insiden keganasan serius apabila emosi suspek memuncak sebelum bertindak menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Mangsa telah selamat dikebumikan. Foto Detik.com.

Mangsa telah selamat dikebumikan. Foto Detik.com.

Pihak polis turut mendedahkan mangsa dipukul menggunakan tangan kosong, batang penyapu, serta dihentak kepala ke dinding sebelum dibawa ke bilik air.

Siasatan mendapati kejadian berlaku selama beberapa jam di dalam rumah sewa berkenaan sebelum suspek cuba menutup perbuatannya dengan mendakwa mangsa terjatuh di bilik air.

Namun, helah tersebut gagal selepas siasatan lanjut termasuk bedah siasat semula mengesahkan unsur penganiayaan.

Polis turut mendedahkan suspek pernah beberapa kali melakukan kekerasan terhadap mangsa sebelum kejadian berlaku, selain mengaku sering berasa terganggu dengan tingkah laku adiknya yang merupakan OKU mental.

Choiriyah yang baru tinggal bersama kakaknya kira-kira dua minggu sebelum kejadian itu akhirnya ditemui maut sebelum dikebumikan pada hari sama, namun kes itu kemudian dibuka semula selepas timbul kecurigaan keluarga.

Suspek kini telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh selepas siasatan lanjut mendapati kematian mangsa bukan disebabkan kemalangan seperti yang didakwa pada awalnya.- Agensi

Scroll to Top