Kakak korban giliran tunai haji demi jaga keluarga

Kakak korban giliran tunai haji demi jaga keluarga

MAKKAH – Kegembiraan tiga beradik dari Kedah menunaikan ibadah haji pada usia muda tahun ini disulami rasa sebak apabila ibu bapa mereka yang turut menerima tawaran haji tidak dapat berangkat ke Tanah Suci atas faktor kesihatan.

Lebih menyentuh hati, kakak sulung mereka yang juga menerima tawaran haji sanggup menangguhkan pemergiannya demi menjaga kedua-dua ibu bapa serta anak-anak saudara di tanah air.

Siti Munira Muhammad Mustafa berkata, dia bersama adiknya, Ili Rashidah dan adik lelaki bongsu, Ali Abdillatif, bersyukur dipanggil menjadi tetamu ALLAH selepas ibu bapa mereka mula membuat simpanan Tabung Haji sejak mereka kecil lagi.

Menurut Siti Munira, ibu bapanya membuat potongan gaji setiap bulan untuk menyimpan dalam Tabung Haji sebelum mendaftarkan satu keluarga menunaikan haji pada tahun 2009.

“Kami memang tak sangka dipanggil pergi haji pada usia muda. Apa yang kami rasa hari ini semuanya hasil pengorbanan mak ayah yang mula menabung sejak kami kecil.

“Masa mula-mula dapat tahu satu keluarga boleh pergi, kami memang terlalu gembira sebab impian nak tunai haji bersama akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun katanya, perancangan tersebut berubah apabila ibunya, Nazifah Abdul Latiff, 73, yang menghidap asma kronik dan bapanya, Mohd Mustafa Yahya, 71, yang mempunyai masalah jantung tidak melepasi saringan kesihatan.

“Kami dah siap rancang pembahagian tugas di sini. Ali sebagai anak lelaki tunggal akan jaga ayah dalam bilik sebab lebih mudah uruskan ayah, manakala saya dan adik perempuan akan jaga mak.

“Tapi bila pemeriksaan kesihatan dibuat, kami reda apabila dimaklumkan keadaan mak dan ayah tidak mengizinkan untuk datang tahun ini,” katanya.

Siti Munira berkata, mereka sekeluarga tetap berusaha mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut kerana masih berharap ibu bapa mereka dapat berangkat bersama.

“Kami cuba juga rawatan dan pemeriksaan lanjut, tapi mungkin belum ada rezeki mereka tahun ini,” katanya.

Menurutnya, kakak sulung mereka Ummi Aishah, 40 tahun kemudian membuat keputusan besar untuk menangguhkan pemergian walaupun sudah menerima tawaran haji supaya dapat menjaga ibu bapa di Malaysia.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan adik-beradik kerana mereka tidak sanggup meninggalkan ibu bapa tanpa penjaga sekiranya semua berangkat ke Tanah Suci.

“Kalau kami semua pergi, siapa pula yang nak urus mak ayah nanti kalau ada peluang tahun depan? Jadi kakak pilih untuk berkorban dan tangguhkan dahulu peluang dia demi mak ayah.

“Selain jaga mak ayah, kakak juga urus anak-anak kami yang masih kecil sepanjang kami berada di Tanah Suci. Sebab itu kami rasa lebih tenang untuk beribadah di sini,” katanya.

Siti Munira berkata, walaupun sedih kerana impian menunaikan haji sekeluarga tidak tercapai, mereka percaya ALLAH sudah menyusun perjalanan terbaik buat keluarga mereka.

“Kami sedih dan ralat sebab impian nak pergi satu keluarga tak jadi kenyataan, tapi kami yakin mungkin ALLAH simpan sesuatu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di Madinah dan Makkah, mereka tidak pernah putus mendoakan kesihatan ibu bapa agar diberi peluang menjadi tetamu ALLAH pada musim haji akan datang.

“Sejak di Madinah lagi kami sentiasa doa supaya mak ayah diberikan kesihatan dan dipermudahkan untuk sampai ke sini juga nanti.

“Kami juga doa untuk adik-beradik dan keluarga lain yang belum berpeluang datang ke Tanah Suci, selain menitipkan doa buat ahli keluarga serta kenalan yang masih menanti jodoh dan sedang berusaha mendapatkan zuriat,” katanya.

Siti Munira turut berkongsi didikan ibu bapanya yang sangat menitikberatkan amalan menabung dalam Tabung Haji sejak mereka kecil.

Katanya, duit raya dan simpanan mereka akan terus dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji sehingga menjadi budaya dalam keluarga.

“Mak memang sangat tegas tentang simpanan Tabung Haji. Kami siap berlumba sesama adik-beradik siapa paling banyak simpan duit raya.

“Buku akaun itu mak pegang sampai kami dah bekerja dan berkahwin. Mak pesan jangan keluarkan duit kecuali kecemasan,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya yang merupakan pesara penjawat awam dan berasal dari keluarga sederhana di Sik dan Pendang, Kedah, sentiasa mengutamakan pendidikan serta simpanan masa depan anak-anak walaupun hidup tidak mewah.

“Mereka bukan orang senang, tapi pengorbanan mak ayah sangat besar untuk kami.

“Kami sebenarnya hanya menumpang rezeki mak ayah. Kalau ikut simpanan sendiri, mungkin bukan pada usia sekarang kami dapat sampai ke Tanah Suci,” katanya.

Scroll to Top