'Kakak 'pergi' dalam keadaan bersih, masih ada wuduk selepas solat Dhuha'

'Kakak 'pergi' dalam keadaan bersih, masih ada wuduk selepas solat Dhuha'

am@hmetro.com.my

Baling: “Apa yang saya bimbangkan akhirnya berlaku. Kakak meninggal dunia selepas dilanggar lori batu, pagi tadi,” kata Siti Safur Abdullah, 64.

Siti Safur adalah adik kepada Habsah@Salimah Abdullah, 78, yang maut dalam kemalangan di hadapan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, kakaknya hendak melintas jalan di lokasi hanya kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Bawah Gunung, di sini.

“Ini kali kedua kakak pergi ke kelas agama di situ dan kali pertama selepas Aidilfitri lalu.

“Kelas itu diadakan setiap minggu tetapi disebabkan kakak mengalami masalah kesihatan, dia tidak dapat pergi selalu namun hari ini dia bersemangat pergi seorang diri dengan berjalan kaki,” katanya ketika ditemui hari ini.

Siti Safur berkata, dia pernah menasihatkan arwah supaya tidak pergi ke kelas itu berseorangan tetapi kakaknya berkeras.

“Tanpa pengetahuannya, saya melewatkan pergerakan jam dinding 15 minit dari waktu sebenar kerana kelas bermula pada jam 9 pagi, tetapi kakak tetap berdegil hendak pergi waktu itu.

“Ketika kakak ke bilik air, saya perbetulkan semula pergerakan jam itu pada jam 8.30 pagi,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai solat Dhuha, kakak terus keluar rumah tanpa memberitahu apa-apa sehinggalah ada penduduk kampung memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, pada mulanya dia menyangka kemalangan itu membabitkan jirannya kerana dia keluar dulu sebelum kakak.

“Saya terus ke tempat kejadian namun dimaklumkan kakak sudah meninggal dunia dan sebelum itu, anak-anak saudara yang tinggal berhampiran sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

“Kami berdua amat rapat malah setiap malam tidur sekali. Saya sering bergurau dengan kakak dan memberitahunya yang saya sentiasa mendoakan keselamatannya walau di mana saja berada dan kakak sangat gembira mendengarnya,” katanya.

Siti Safur berkata, dia amat terasa dengan kehilangan kakaknya itu kerana hubungan mereka paling rapat, namun reda dengan pemergiannya.

Katanya, dia bersyukur kerana arwah pergi dalam keadaan bersih kerana masih ada wuduk selepas solat Dhuha.

“Jenazah akan dikebumikan selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Baling,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes itu masih dalam siasatan.

Β© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top