Pempengaruh media sosial dan usahawan sensasi, Cik Epal mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Trending Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) yang berlangsung malam tadi.
Menariknya, Cik Epal berjaya menewaskan nama-nama besar industri hiburan seperti Diana Danielle, Bella Astillah, Syed Saddiq, Nadzmi Adhwa, Alya Iman, Erma Fatima, Emma Maembong, Uqasha Senrose, Ain Edruce dan Puteri Balqis, sekali gus membuktikan pengaruh pempengaruh digital tidak boleh dipandang sebelah mata.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan tak sangka. Terima kasih kepada pengikut saya yang mengundi, rasa tak percaya dapat tewaskan semua selebriti memandangkan saya seorang sahaja yang bergelar pempengaruh dalam kategori ini. Apapun, saya rasa terharu dan berterima kasih, Alhamdulillah,” ujar Cik Epal.
Kemenangan tersebut hadir tidak lama selepas namanya menjadi topik hangat susulan kes penceraian dengan bekas suami, Jofliam pada tahun lalu.
Kini, Cik Epal mengaku hidupnya jauh lebih tenteram apabila menyandang status sebagai ibu tunggal.
“Saya semakin tenang, bila kembali solo, saya hanya fokus kepada diri sendiri dan anak-anak. Kita tak ada gangguan lain yang boleh membuatkan saya ‘overthinking’, semua dah tak ada, jadi saya semakin tenang,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan untuk lebih aktif dalam bidang seni selepas kemenangan sulung itu, Cik Epal terbuka mencuba peluang baharu.
“Kalau diberi peluang, saya okay je sebab saya gemar mencuba perkara baharu. Jika ada tawaran yang datang, saya suka nak ‘explore’.
“Insya-Allah, selepas tampil dengan single Cukup Sampai Sini pada Februari lalu, saya akan ada lagu baharu dengan Aepul Roza. Selepas saya uruskan hal bisnes, saya akan hubungi Aepul semula.
“Hal bayaran deposit semua sudah saya selesaikan, tetapi saya sangat sibuk jadi saya belum lagi berkesempatan nak merakamkan single baru itu. Tapi lagu Aepul sangat sedap,” katanya.
Bagaimanapun, jika diberi pilihan antara menyanyi atau berlakon, Cik Epal mengakui lebih cenderung mencuba lakonan.
“Saya nak cuba berlakon kerana saya sedar, suara saya menyanyi biasa-biasa sahaja. Kalau buat lagu, ketika sesi rakaman, kita boleh sunting suara. Jika berkesempatan berlakon, saya mahu mencuba untuk pegang watak ganyang penyondol,” selorohnya.




