Kalamullah gesa rakan sepasukan waspada ancaman Penang FC

Kalamullah gesa rakan sepasukan waspada ancaman Penang FC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz tidak melihat kelebihan 1-0 membuatkan mereka selesa apabila berdepan Penang FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Oleh itu, Kalamullah berharap bahagian serangan dan pertahanan akan memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan itu bagi memastikan slot ke final menjadi milik mereka.

“Saya rasa kelebihan 1-0 tidak menjamin apa-apa buat pasukan dan kita kena berikan tumpuan penuh agar kelebihan ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Pada saya, bahagian serangan kena lebih tajam kerana aspek pertahanan masih tiada masalah. Kita kena baiki bahagian serangan.

“Malah, benteng pertahanan kena waspada asakan Penang FC yang memiliki kelebihan daripada situasi set piece atau sepakan penjuru,” katanya.

Selain itu, pemain berusia 30 tahun itu berkata, mereka sudah dua kali menentang Penang di tempat lawan dan pada aksi Liga Super minggu lalu, prestasi pasukan tidak begitu baik mungkin atas faktor padang akibat hujan, sehingga seri 1-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top