Pelakon Nad Zainal berpendapat persepsi sekolah swasta lebih baik berbanding sekolah kerajaan adalah tidak tepat.
Menurut Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 ini, kualiti pendidikan tidak hanya bergantung kepada yuran yang mahal, tetapi lebih kepada asas pendidikan yang diterapkan sejak di rumah.
“Kalau ada yang kata sekolah mahal (swasta) lebih bagus, pada saya itu tidak betul. Kita kena didik sejak di rumah. Kalau bayar sekolah mahal-mahal tapi di rumah dan di sekolah tetap dimanjakan, tak jadi apa-apa,” katanya.
Aktres drama bersiri Kampung Girl ini turut menegaskan sekolah kerajaan telah terbukti melahirkan ramai individu cemerlang dan profesional dalam pelbagai bidang.
“Saya rasa tidak menjadi masalah pun nak hantar anak ke sekolah kerajaan. Seluruh ahli keluarga saya pergi sekolah kerajaan. Suami saya pun punyai lulusan luar negara bermula daripada sekolah kerajaan.
“Saya tak nampak perkara ini sebagai satu masalah. Kita tak boleh memandang rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan atau sekolah yang yurannya lebih murah berbanding sekolah swasta,” katanya kepada XTRA.
Nad ditemui di acara pelancaran selipar kolaborasi antara jenama Fipper x Bayu Somerset di KL East Mall, Kuala Lumpur, pada Rabu.


Tambah isteri kepada aktor Ungku Ismail itu lagi, pendidikan terbaik bermula dari rumah dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mendapat asas pembelajaran yang baik.
“Saya dan suami memang tegas dalam pendidikan anak-anak. Kami hadkan penggunaan gajet dan televisyen. Sekiranya mereka berjaya membuktikan sesuatu atau meraih pencapaian yang bagus di sekolah, barulah kita izinkan,” jelasnya.
Nad turut menegaskan dia enggan membebankan diri dengan yuran sekolah yang tinggi sehingga boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak sekiranya kemampuan kewangan berubah.
“Saya ini hanya pelakon biasa. Ada pasang dan surutnya. Kalau selamanya kita nak hantar anak ke sekolah swasta tapi di kemudian hari kita tak mampu, pelajaran anak akan tersekat.
“Apa yang saya buat ini adalah di atas kemampuan dan saya lihat sekolah kebangsaan masih relevan. Ramai produk-produk daripada sekolah kebangsaan yang berjaya sambung belajar ke peringkat tertinggi dan menjadi golongan profesional yang hebat,” katanya.




