am@hmetro.com.my
Gurun: “Setiap kali menunggu waktu berbuka puasa, Afifah paling sibuk membantu saya di dapur dan ada saja celotehnya membuatkan saya terhibur sementara menunggu azan berkumandang.
“Namun, sekarang semuanya tinggal kenangan apabila dia kini tidak lagi seperti dulu, malah tidak mampu bercakap serta bergerak.”
Begitu kata Ratnasari Diwi Hamid, 45, ibu kepada Afifah Mohamad Fazil, 10, yang kini terlantar di atas katil sejak Januari lalu akibat ketumbuhan dalam otak.
Ratnasari berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan menghidap penyakit terbabit sejak berusia dua tahun apabila anak matanya lari sedikit selain kepalanya kerap digoyang.
Menurutnya, keadaan semakin ketara ketika Afifah berusia enam tahun menyebabkan dia dan suami, Mohamad Fazil Md Dzahid, 50, membawanya menjalani pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Doktor beritahu ada ketumbuhan di kepala anak saya iaitu Bilateral Optic Tract Glioma dan perlu menjalani rawatan susulan.
“Namun, akibat masalah kewangan, kami tidak dapat membawa Afifah ke hospital kerana saya tidak bekerja, manakala suami ketika itu hanya mengutip kayu di hutan dengan pendapatan tidak menentu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Cengai, di sini.
Menurut Ratnasari, melihat keadaan kesihatan anaknya tidak menentu, dia membawa anaknya menjalani rawatan di HSAH sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Bagaimanapun katanya, kes anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Afifah perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.
“Setakat ini anak saya sudah 26 kali menjalani pusingan kemoterapi yang dibuat seminggu sekali pada akhir 2021 dan radioterapi sebanyak 15 kali pada 2023.
“Anak kemudian menerima rawatan susulan di HPP tahun lalu sebelum menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada cecair dan tumor di kepala pada 8 Januari lalu.
“Selepas pembedahan itu, anak saya tidak dapat berjalan langsung, tidak boleh bercakap, tidak dapat melihat serta mengalami kekejangan pada tangan selain diserang angin ahmar,” katanya.
Selain Afifah, anak sulung pasangan itu Nurul Awatif, 15, kini tinggal di asrama sebuah sekolah agama di Sungai Petani.
Ratnasari berkata, mereka mengalami kesulitan untuk membawa anak ke hospital kerana perlu menyewa kenderaan seperti van dengan kos RM300 kerana anaknya bertubuh gempal.
Menurutnya, dia dan suami kini bergantung pada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400 sebulan dan digunakan untuk membeli lampin pakai buang serta susu formula khas untuk anaknya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun BSN 0299541100271836 atas nama Ratnasari Diwi Hamid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




