harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hampir 30 jurugambar jalanan dikompaun menerusi operasi bersepadu oleh KL Strike Force di KLCC, di sini, semalam, bagi menangani pelbagai isu yang timbul membabitkan golongan itu baru-baru ini.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi mendapati ia berjalan lancar walaupun ada berlaku sedikit kekecohan apabila seorang daripada kumpulan jurugambar terbabit enggan bekerjasama.
Namun keadaan berjaya dikawal secara profesional oleh pegawai di lokasi dan semuanya berjalan lancar.
Salah seorang jurugambar jalanan yang enggan dikenali berkata, itu adalah kali pertama mereka dikompaun atas kesalahan menawarkan perkhidmatan menangkap gambar.
“Ini kali pertama, tengok dekat surat ini (kompaun) tulis kena bayar RM2,000 mana nak bayar? Kalau hari-hari kena saman botak lah kepala saya.
“Kalau macam ini lepas ini jika selalu saman saya kena cari kerja lain lah, tapi mereka ada kata nak bagi kami lesen di sini, kita tunggu saja lah macam mana cara,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Berdasarkan notis kompaun yang dikeluarkan, individu terbabit dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.
Difahamkan kesalahan dilakukan adalah menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam kepada pengunjung sekitar KLCC dengan menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Sementara itu diminta mengulas mengenai kejadian tular membabitkan kumpulan itu yang didakwa cuba mengambil kesempatan ke atas pelancong asing, pemuda berusia 20-an berkenaan berkata, ia sekadar salah faham di antara dua pihak.
Katanya, dia tidak pasti apa yang terjadi sebenarnya namun berdasarkan pemahamannya kejadian itu berlaku kerana kesukaran kedua-dua pihak berkomunikasi.
“Ketika kejadian itu saya tiada di kawasan ini, tetapi apa yang saya dengar dari kawan-kawan kejadian itu terjadi sebab salah faham antara mereka.
“Tetapi benda pun sudah jadi, sekarang semua kena tanggung akibat, orang kata ‘kerana nila setitik, habis semua kena’,” katanya.
Operasi bermula kira-kira jam 9 malam itu dilaksanakan oleh sejumlah pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
© New Straits Times Press (M) Bhd