Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak tampil bersuara selepas pihak Awesome TV mengeluarkan kenyataan bahawa semua program di saluran itu diterbitkan oleh syarikat produksi luar dan sebarang isu bayaran melibatkan artis adalah di bawah tanggungjawab pihak produksi tersebut.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya, Amir mengucapkan penghargaan kepada saluran televisyen itu meskipun tidak menyatakan secara langsung mengenai isu yang berlaku.
“Alhamdulillah. Terima kasih Awesome TV kalau ini harganya untuk penat lelah saya dan kami. Terima kasih banyak-banyak,” tulisnya.
Kalau ini harganya untuk penat lelah saya…
Amir turut memaklumkan bahawa sejak pagi, ramai pihak cuba menghubunginya namun dia tidak sempat memberi maklum balas kerana sedang menguruskan pelbagai urusan peribadi termasuk keadaan kesihatan bapanya.
“Dari pagi tadi sebenarnya ada ramai yang contact tapi saya tak sempat jawab sebab rushing sangat-sangat banyak benda nak diuruskan. Tadi pulak hantar abah saya ke kecemasan sebab jahitan kat perut terbukak, keluar darah,”ujarnya.
Jelasnya lagi, telefon bimbit peribadinya mengalami kerosakan dan menyebabkan kad SIM tidak dapat diakses.
“Maaf telefon peribadi saya rosak tadi ni, sim jadi tak masuk.
“Kalau ada wartawan, dan sesiapa sahaja contact sekarang saya mintak maaf tak dapat jawab. Nanti dah baik (telefon pintar) kembali, saya jawab ya,” katanya lagi.
Artikel lain: Fitnah! Awesome TV nafi gagal bayar artis, ambil tindakan undang-undang terhadap 3 selebriti
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Amir dan beberapa artis lain tidak menerima bayaran penuh selepas menjayakan sebuah program di Awesome TV.
Namun, dalam kenyataan rasmi, pihak saluran itu menegaskan urusan pembayaran bukan di bawah tanggungjawab mereka, sebaliknya terletak pada pihak produksi luar yang menerbitkan kandungan berkenaan.
Sumber: FB Amir Raja Lawak