“Kalau Nampak Saya & Fattah Amin Keluar Bersama, Itu Semua Atas Dasar Kerja” – Amira Othman

“Kalau Nampak Saya & Fattah Amin Keluar Bersama, Itu Semua Atas Dasar Kerja” – Amira Othman

Penyanyi Amira Othman menyangkal tuduhan dirinya ‘menunggang’ populariti pelakon terkenal Fattah Amin yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini.

Berpendapat apa yang terjadi merupakan aturan Allah, Amira menganggap semua yang berlaku sebagai rezeki.

“Saya kurang faham sikit definisi ‘menunggang’ ini. Pada saya semua ini rezeki. Apa yang pasti, segala terjadi dan disusun ini adalah rezeki.

“Saya rasa perkataan ‘menunggang’ itu kurang sesuai digunakan kerana kalau sudah tertulis rezeki, maka macam-macam boleh berlaku,” tegas Amira.

Amira ditemui XTRA di sidang media pengumuman Duta Jakel 2025 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mengaku semua perkara bermula dengan gimik menampilkan Fattah dalam muzik video single terbaharunya yang berjudul Bila Nak Kahwin, Amira tak kisah dengan spekulasi yang timbul asalkan ia tidak berlebihan.

“Pertama sekali, ia bermula dengan gimik. Apa sahaja pilihan kita sama ada mahu kontroversi atau tidak, pasti ada kebaikan dan keburukan. Dengan gimik ini pasti ada spekulasi dan sebagainya.

“Tapi, pada saya asalkan ia tidak berlebihan-lebihan. Kalau nampak kami keluar bersama, itu semua atas dasar kerja,” katanya lagi.

Terdahulu, menerusi majlis pengumuman duta dan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025, Fattah dan Amira mencuri perhatian pengunjung apabila tampil berpakaian sedondon warna ‘burgundy’.

Dalam majlis itu, Fattah dan Amira diumum sebagai duta Jakel bagi memperhebat kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025.

Selain Fattah dan Amira, selebriti lain yang diumum sebagai duta adalah Senario, Nabil Ahmad seisi keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna Nasir seisi keluarga, Sallywho seisi keluarga termasuk Upin & Ipin.

Scroll to Top