'Kalau orang perlukan bantuan, saya akan tolong' – Pak cik tular bantu pelancong China

'Kalau orang perlukan bantuan, saya akan tolong' – Pak cik tular bantu pelancong China

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dia pusing-pusing, tak tahu arah. Tak ada siapa nak tolong. Akhirnya dia datang dekat saya dan tunjuk sekeping kertas tempat yang dia nak pergi, Masjid Jamek. Dia cakap Bahasa Inggeris, saya pun faham sikit-sikit.”

Demikian kata Tumin Wahab, 67, penjual tisu yang tular selepas menolong pelancong warga China yang hilang arah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan rabun, dia terpaksa meminjam cermin mata daripada peniaga lain di situ untuk membaca tulisan pada kertas itu.

“Saya cakap, naik LRT saja. Saya tolong dia sampai naik platform mana, turun di stesen mana. Saya pesan: ‘Awak jangan turun selagi tak sampai Masjid Jamek.’ Dia angguk-angguk,” katanya ketika ditemui.

Tumin berkata, dia sedar wanita itu merakam video tetapi tidak tahu ia boleh tular.

“Dua hari lepas tu dia datang balik, dia tunjuk video dan mahu mengambil gambar bersama saya. Saya kata ambillah, saya cuma tolong,” katanya.

Bagaimanapun apa menyentuh perasaannya apabila wanita itu tiba-tina sebak ketika menunjukkan rakaman video terbabit.

“Dia tunjuk video dia yang tular, lepas tu dia menangis. Dia asyik cakap, dia rindukan bapanya. Masa tu saya pula rasa sedih kerana dia ingat ayah dia dan saya pula terus teringat arwah anak perempuan saya.

“Tapi dalam keadaan sedih itu, saya rasa gembira kerana dapat tolong orang,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah meminta bayaran dengan menolong wanita itu.

“Orang cakap saya dapat banyak duit daripada pelancong itu. Saya tak minta satu sen pun, dia hanya membeli tisu saya dan menghulurkan dua ringgit kepada saya, itu saja,” katanya.

Tumin berkata, ini bukan kali pertama dia membantu pelancong.

“Seorang lelaki dari Singapura hampir tertipu apabila diminta membayar tambang teksi sebanyak RM180 untuk ke Kampung Baru.

“Saya cakap, LRT RM3.80 saja. Saya tutup kedai tisu saya, saya bawa dia naik LRT. Dia terkejut dan tanya kenapa teksi mahal sangat? Saya jawab, sebab awak pelancong,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah dikenali, dia tidak mempunyai telefon bimbit dan tidak mengikuti perkembangan di media sosial.

“Saya tak ada telefon, tak ada kamera. Orang cakap saya viral, saya tak tahu apa pun. Tapi kalau orang perlukan bantuan, saya tolong.

“Kalau boleh tolong, saya tolong. Saya pernah hidup senang dulu, sekarang hidup biasa-biasa saja tapi saya masih ada hati untuk membantu orang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top