
Mohamad Sabu ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak rakyat supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal menerajui negara, sambil menegaskan sebarang perubahan kepimpinan wajar dilakukan melalui pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, jika terdapat hasrat untuk menukar Perdana Menteri, ia perlu diserahkan kepada proses demokrasi dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa di luar mandat pilihan raya.
“Kalau kita rasa nak ubah Perdana Menteri, nak ubah tak? Sekurang-kurangnya tunggu pilhan raya akan datang.
“Saya pun teringin jadi Perdana Menteri. Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) payah sikit.
“Saya ada harapan, tetapi daripada harapan kita mungkin hancur berkecai, baik kita sokong terus Datuk Seri Anwar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau menegaskan sekiranya kemenangan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) ia tidak akan menjejaskan peruntukan atau usaha Kerajaan Persekutuan terhadap negeri tersebut.
BN katanya, tetap menerima layanan sama kerana kerajaan tidak membezakan negeri berdasarkan warna politik.
“Untuk pertanian, RM201 juta adalah untuk Johor. Nak tarik balik atau tak? Tidak. Rakyat Johor rakyat Malaysia, bahkan saya minta Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan untuk tambah peruntukan itu.
“Sebagai Menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), tak ada niat langsung nak kurangkan,” jelasnya.



