Abang kepada pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall, Abiejam atau Mohd Khairul Nizam Wahiddin mendakwa pelakon Azar Azmi masih belum melangsaikan hutang sebanyak RM15,000 sejak enam tahun lalu.
Dakwa Abiejam, bantuan itu diberikan bagi membantu Azar memulakan perniagaan termasuk menyediakan barangan serta sokongan untuk siaran langsung di media sosial.
“Saya sebenarnya sudah lama simpan perkara ini. Tapi sampai sekarang tiada jawapan. Bila tengok nama dia kembali jadi perhatian, saya rasa ini masa untuk dia tampil beri penjelasan.
“Ini bukan isu nak tumpang populariti. Ini soal hutang. Waktu dia susah, kami bantu dengan barang dan sokongan bernilai lebih RM15,000 untuk dia mula berniaga semula.
“Tapi selepas itu dia terus hilang. Saya cuba hubungi tapi tidak berjawab, mesej pun tidak dibalas sampai sekarang,” dakwanya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dunia Akhirat Saya Ada RM28 Je”- Azar Azmi Kongsi Detik Sukar Selepas Dibebaskan
Lebih mengejutkan, Abiejam mendakwa mempunyai bukti berkaitan bantuan tersebut dan bersedia berdepan tindakan undang-undang jika dakwaannya tidak benar.
“Kalau saya menipu, saya sanggup disaman sebab semua bukti ada. Di media sosial pun masih ada rekod, boleh rujuk semula video lama,” dakwanya.
Tambahnya, sepanjang enam tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Azar, namun tidak berhasil.
“Sekarang bila nama dia kembali diperkatakan, saya cuma mahu ingatkan… dia masih ada hutang dengan saya. Hutang tetap hutang,” dakwanya.
Dalam masa sama, Abiejam tidak menolak untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, namun menegaskan Azar perlu tampil berjumpa dengannya terlebih dahulu.
Selain isu tersebut, Abiejam turut memaklumkan telah membuat tiga laporan polis terhadap bekas pekerjanya melibatkan penasihat undang-undang, penasihat kewangan serta bekas pengurus atas dakwaan pecah amanah yang menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian hampir RM2 juta, termasuk kehilangan barang kemas.
Dia juga mendakwa menerima ugutan daripada salah seorang individu terbabit sehingga terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi diri.




