“Kalau Tak Kahwin Bella, Saya Ajak Rakyat Sabah Undi Lawan Awak!” – Doktor Tulis Surat Terbuka, Beri ‘Amaran’ Buat Syed Saddiq

“Kalau Tak Kahwin Bella, Saya Ajak Rakyat Sabah Undi Lawan Awak!” – Doktor Tulis Surat Terbuka, Beri ‘Amaran’ Buat Syed Saddiq

Seorang individu, Dr Azhari Zhahir tampil lantang menyuarakan harapan agar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memperisterikan penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, yang didakwanya setia menemani Saddiq di saat susah dan senang.

Menerusi satu surat terbuka yang dimuat naik di Facebook pada pagi Sabtu, Dr Azhari meluahkan rasa kagum terhadap pengorbanan dan kesetiaan Bella yang tetap teguh menyokong Saddiq tatkala pemimpin muda itu berdepan ujian besar termasuk di mahkamah.

“Izinkan saya menulis bukan sekadar sebagai rakyat biasa, tetapi sebagai saksi senyap kepada sebuah kisah cinta yang kami semua harap akan berakhir dengan akad yang sah,” tulisnya.

Menurutnya lagi, Bella bukan sekadar ‘bayang-bayang’ di belakang tabir, sebaliknya merupakan nadi dan semangat kedua buat Saddiq untuk terus berjuang dalam dunia politik yang penuh ranjau.

“Bella ada saat politik awak menggila, saat mahkamah menjadi pentas ujian, bahkan sewaktu mendaki Gunung Kinabalu, dia tetap ada. Bukan untuk bergambar, tetapi meniup semangat dan keyakinan bahawa perjuangan awak tidak sia-sia,” katanya.

Lebih menarik, Dr Azhari berseloroh menawarkan bantuan kepakaran sebagai doktor secara percuma sekiranya Saddiq masih keliru dalam menilai keikhlasan Bella.

“Jika mata awak masih kabur melihat siapa Bella sebenarnya, saya rela bantu dengan kepakaran saya. Tak perlu bayar kerana cinta kalian jauh lebih mahal daripada mana-mana bil rawatan yang saya pernah tulis,” tulisnya lagi.

Namun, di sebalik nada berseloroh itu, terselit amaran tegas daripada Dr Azhari kepada Syed Saddiq sekiranya enggan menghargai Bella.

“Kalau akhirnya awak memilih untuk mengecewakan Bella… maka saya sendiri akan turun bertanding di Parlimen Muar! Bukan sekadar mahu menamatkan kerjaya politik awak, tetapi untuk membela Bella, cara paling gentleman yang rakyat biasa mampu buat.

“Saya akan ajak seluruh rakyat Sabah berhijrah ke Muar, semata-mata untuk tumbangkan awak,” katanya berseloroh.

Di penghujung suratnya itu, Dr Azhari menyeru agar Saddiq kembali kepada ‘rasa yang paling jujur’, terutamanya dalam menyempurnakan hubungan mereka dengan ikatan yang sah.

“Bawalah Bella berdiri di sebelah awak, bukan sebagai teman seperjalanan, tetapi sebagai isteri yang sah di sisi akad. Biar kami rakyat yang diam ini boleh sama-sama tadah tangan mendoakan bahagia kalian,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata netizen menyokong penuh luahan Dr Azhari. Malah, ada yang secara sinis mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Saddiq jika menyakiti hati Bella.

Scroll to Top