Pelakon, Sophia Albarakbah meluangkan masa berniaga air kelapa sepanjang Ramadan walaupun masih sibuk dengan kerjaya seni.
Ketika ditemui media, Sophia, atau nama lengkapnya, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 33, berkata dia dan kakaknya akan membuka gerai air kelapa pandan di bazar Ramadan Stadium Merdeka.
“Saya dengan kakak akan jual air kelapa pandan dekat bazar Ramadan di Stadium Merdeka. Mungkin hari ketiga Ramadan dah buka.
“Kalau saya tak ada penggambaran, saya akan datang bantu kakak,” katanya ketika ditemui pada sidang media kempen Jwanjih Kenyang TV3 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktres drama rantaian Bisik Asmara itu menjelaskan, keputusan menjual air kelapa dibuat kerana minatnya terhadap minuman berkenaan dan bukan sekadar mengikut trend.
“Saya memang suka air kelapa sebab kurang gemar minuman terlalu manis dan bergula.
“Selalunya di bazar, air kelapa sudah siap dalam balang dan dicampur gula serta ais. Kadang-kadang saya sendiri rasa skeptikal tentang kebersihan air itu.
“Lebih sihat dan menyegarkan, terutama ketika berbuka puasa. Air kelapa ada elektrolit semula jadi,” katanya.




