sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Selangor (SFC), Kim Pan-gon menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya dapat mempertimbangkan kaedah hukuman lain dan tidak lagi menggunakan hukuman beraksi di dalam stadium kosong.
Bagi Pan-gon, sebarang kesalahan atau pelanggaran tatatertib wajar dikenakan tindakan disiplin atau denda sesuai tanpa perlu menyekat kehadiran penyokong ke stadium.
“Kesannya sangat besar. Seperti yang saya katakan, bola sepak adalah untuk penonton.
“Mungkin pihak berkuasa boleh cari jalan lain, tetapi menyekat kehadiran penyokong ke stadium adalah satu keputusan sangat teruk bagi saya.
“Tanpa penyokong, bola sepak ini tiada nilai dan tiada apa-apa. Kalau tiada orang di stadium, kita bermain dan menang untuk siapa? Kita bermain untuk penyokong. Jadi saya sangat kecewa beraksi tanpa penyokong,” katanya.
Justeru, bekas pengendali Harimau Malaya itu berharap isu bermain di hadapan stadium kosong ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Saya harap ini adalah kali terakhir kita bermain di stadium kosong. Kalau ada kesilapan yang dilakukan, denda kami dengan cara lain, tetapi jangan rampas penyokong daripada kami,” katanya.
Terdahulu, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang gegak gempita dengan kehadiran penyokong pada Ahad lalu bertukar menjadi sepi bagaikan ‘tanah perkuburan’ pada Rabu lalu.
Tiada deruan sorakan dan paluan gendang di bangku penonton untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA berdepan Sabah FC, sekali gus menjadikan persekitaran venue perlawanan itu bagaikan tidak bernyawa.
Di dalam stadium, kawasan tempat duduk penonton kosong sepenuhnya kerana yang berada di venue perlawanan hanyalah pemain kedua-dua pasukan, barisan kejurulatihan, petugas perlawanan serta pengamal media yang hadir untuk membuat liputan.
Perkarangan MBPJ yang selalunya meriah bertukar lengang sepenuhnya tanpa sebarang kelibat peminat.
Kesunyian luar biasa ini berlaku selepas ‘The Red Giants’ dikenakan hukuman beraksi tanpa penyokong oleh FAM susulan insiden kekecohan membabitkan penyokong ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada suku akhir Piala FA musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

