'Kalau tidur, kita kejutkan, kalau sakit angkut pergi pangkah undi' – Muhyiddin

'Kalau tidur, kita kejutkan, kalau sakit angkut pergi pangkah undi' – Muhyiddin

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Perikatan Nasional (PN) optimis peluang gabungan parti itu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan kemenangan bergaya lebih cerah sekiranya semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian kelak.

Berikutan itu, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merayu semua pengundi mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu dan menyifatkan PRK Sungai Bakap sebagai pilihan raya kritikal dan bukan semata-mata bertujuan mengisi kekosongan kerusi terbabit.

“Ingat tulis dalam buku sebab pilihan raya ini agak kritikal bukan kata pilihan raya nak mengisi kekosongan, itu dah tentu, tapi peluang kita bagi isyarat apabila katalah diumumkan bahawa abang kita ini (calon PN) menang dengan majoriti 15,000 kalau tak banyak, 3,000 pun tak apa.

“Orang Sungai Bakap ada tanggungjawab bagi satu isyarat kuat baik di Pulau Pinang atau di Putrajaya memberitahu kami tak suka, kami tak setuju, kami tak sokong dasar dibuat Kerajaan yang ada pada hari ini.

“Cuma satu macam di (PRK) Kuala Kubu Bharu saya jumpa ramai macam ini (hadir ceramah) sedap hati (tapi) jangan sampai hari mengundi tak keluar mengundi ,” katanya pada Ceramah Perdana PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung 2 di sini, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ketika PRK Kuala Kubu Bharu, beliau menyaksikan trend dan kesedaran pengundian pengundi berbangsa Cina dan India lebih tinggi berbanding pengundi Melayu.

Presiden Bersatu itu menjelaskan tindakan beliau membandingkan antara pengundi Melayu dan bukan Melayu bertujuan membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap kepentingan dan tanggungjawab keluar mengundi.

“Orang Cina kalau ada 1,000 (orang) 1,000 orang juga keluar. Orang Melayu 60 peratus saja keluar. Orang Melayu kalau ada 1,000 (pengundi) cuma 500 (keluar mengundi).

” Ini bukan isu perkauman. Mana lagi pergi 500? Tiada rasa tanggungjawab ke?

“Mana dia pergi? Tidur? kejutkan (kalau tidur) kalau dia sakit angkut dia pergi ke sekolah tuntun (pimpin) dia pergi pangkah undi di sana.

“Saya tak marah saya (cuma) rasa sedih boleh tak kali ini orang Sungai Bakap lebih 38,000 jumlah pengundi biar Melayu, Cina, India keluar 100 peratus saya yakin, pasti insya-Allah PN menang… itu sifir saya biar semua keluar,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan undi orang Melayu amat penting kerana suara orang Melayu akan menjadi kecil dan dikhuatiri tidak didengari meskipun mempunyai bilangan yang ramai.

“Saya sudah hampir 50 tahun menguruskan pilihan raya kecenderungan yang mutakhir orang Melayu kurang berminat tak kira lah orang Melayu itu Umno, Bersatu tak kira parti apa.

“Undi penting, kalau orang Melayu tak mengundi di negara ini terlungkup. Saya tak kata, orang Melayu akan hilang kuasa,” katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN, AbidinIsmail, 56, dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin, 60.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala hari mengundi pada 6 Julai.

Seramai 39,279 pengundi tersenarai dalam daftar pemilih bakal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah pengundi secara pecahan bangsa membabitkan 23,765 (Melayu), 6,554 (India) dan 8,960 (Cina), yang membabitkan lapan UDM di 10 pusat mengundi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top