Kalau Umno nak ambil semua kerusi, saya pun nak, kata Muhyiddin

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa Umno supaya tidak ghairah mengenai pengagihan kerusi sehingga menutup terus ruang untuk PPBM bertanding pada PRU15. (Gambar Bernama)

PAGOH: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa Umno supaya tidak ghairah mengenai pengagihan kerusi sehingga menutup terus ruang untuk PPBM bertanding pada PRU15.

Beliau yang juga presiden PPBM tidak mahu kelihatan “angkuh” namun jika terpaksa partinya sanggup menghadapi Umno jika parti itu nekad mahu membolot kerusi yang dipertandingkan pada PRU15 nanti.

“Kalau begitu, kalau dia (UMNO) ambil semua, saya pun ambil semua. Satu lawan satu, satu lawan dua, satu lawan tiga. Inilah politik,” kata Muhyiddin, yang pernah menjadi timbalan presiden Umno, pada sidang media.

“Sebab itu saya tidak menyombong diri, bersikap angkuh nanti rakyat marah. Saya faham kenyataan dalam Perhimpunan Agung. Saya pun ada dekat situ dahulu. Saya tak mahu hadapi satu pertembungan yang akhirnya kita mengalih pandangan daripada soal pokok.”

Beliau mengulas ucapan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada Perhimpunan Agung Umno 2020 pagi tadi, yang menekankan “perpaduan ummah” dan “penyatuan Melayu” mesti dipimpin partinya, sementara meremehkan PPBM sebagai parti “kutip”.

PAU 2020 dijangka memuktamadkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno menamatkan kerjasama dengan PPBM, manakala sokongan untuk kerajaan Perikatan Nasional hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU15.