Kali pertama hantar, Saranghae menang trofi Filem Pendek Terbaik FFM34

Kali pertama hantar, Saranghae menang trofi Filem Pendek Terbaik FFM34

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Filem pendek Saranghae yang diumumkan sebagai pemenang anugerah Filem Pendek Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) adalah karya pertama yang dihantar oleh syarikat produksi Rastech Worldwide Sdn Bhd.

Pengarah, Hafiz Shafie berkata, pihaknya tidak menyangka percubaan pertama kali ini membuahkan hasil walaupun mengakui berdepan saingan daripada calon-calon lain yang hebat.

“Sebenarnya, banyak juga karya yang kami hasilkan, cuma tak pernah hantar ke acara anugerah, tapi kali ini kami tak terlepas peluang, sempat hantar dan Alhamdulillah menang (dalam FFM34).

“Kami tak jangkakan kemenangan ini sebab pesaing-pesaing kami hebat belaka dan memang berdepan cabaran yang sukar.

“Penjurian semestinya dinilai dengan pelbagai aspek dan kategori antaranya nilai murni dan apa kebaikan yang dibawa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersama yang juga Penerbit Teknikal di Harian Metro, Shahrul Redzuan Zulkifli berkata, nilai yang diterapkan dalam Saranghae lakonan Nafiz Muaz itu sangat dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Kunci utama yang kami tekankan dalam filem pendek ini adalah doa, usaha dan tawakal. Saya rasa, itu adalah perkara yang dekat dengan kehidupan masyarakat sekeliling kita.

“Penggambaran filem pendek ini kami jalankan di Korea Selatan dalam bulan Ramadan. Jadi, banyak cabarannya untuk pasukan produksi dalam musim sejuk itu.

“Terima kasih juga kepada pelakon utama kami, Nafiz Muaz,” katanya.

Menerusi kemenangan itu, pasukan produksi Saranghae membawa pulang hadiah RM5,000, trofi serta RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top