khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat, hari ini bahawa beliau tidak menyambut hari lahir.
Ahli Parlimen Kota Raja itu secara berseloroh berkata, beliau pertama kali menyambut hari lahir ketika menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini.
“Kami orang kampung tidak pernah sambut hari jadi. Bila jadi Menteri Pertahanan dahulu, baru pertama kali saya sambut hari jadi.
“Sebab bapa kita kata, umur kamu (sama) pokok kelapa ini. Hari beranak ditanam, sekarang pokok kelapa itu sudah mati. Bermakna usia kita semakin lanjut,” katanya.
Beliau memberi reaksi demikian selepas Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengucapkan selamat hari jadi kepadanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
“YB Menteri. Selamat hari jadi untuk semalam. Happy Birthday,” katanya semasa soalan tambahan.
Terdahulu, Doris Sophia meminta Mohamad menyatakan bagaimana kementerian memastikan penangkapan ikan air laut di perairan negara ini secara berlebihan dikawal, terutama di kawasan yang terancam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




