Kali pertama terlepas, cubaan kedua kantoi di KLIA Terminal 2

Kali pertama terlepas, cubaan kedua kantoi di KLIA Terminal 2

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Cubaan lelaki menyeludup 8.04 kilogram(kg) dadah disyaki syabu ke Sabah gagal selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA bersama Polis Bantuan MAHB KLIA 2 pada 5.30 pagi, 7 November lalu.

Katanya, modus operandi sindiket adalah memberikan tiket penerbangan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kepada suspek dan dia tiba dua hari sebelum ditangkap.

“Suspek menginap di sebuah hotel di Putrajaya dan sindiket menghantar bekalan dadah ke hotel serta memberi tiket penerbangan pulang kepada suspek.

“Terdapat dua suspek dalam kes ini yang mana seorang lagi terlepas ketika ‘check in’. Kita sampaikan maklumat kepada Polis Sabah dan dia ditahan apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Hussein berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran diberi upah RM5,000 untuk melaksanakan ‘tugasan’ berkenaan yang mana kali pertama dilakukannya pada September lalu.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam kesalahan berkait dadah dan saringan awal air kencing menunjukkan dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM257,300 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Sabah. Suspek direman untuk siasatan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top