New Delhi: Sebuah kapal Iran ditenggelamkan kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dengan torpedo, ketika melalui Lautan Hindi, Rabu lalu.
Pentagon berkata, ia serangan pertama sejak Perang Dunia II, lapor portal Military Times.
Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth mengesahkan serangan itu dalam taklimat media Pentagon mengenai Operasi Epic Fury bersama Pengerusi Ketua Staf Bersama, Jeneral Dan Caine.
“Sebuah kapal selam AS menenggelamkan sebuah kapal perang Iran yang menyangka ia selamat di perairan antarabangsa.
“Sebaliknya, ia dikaramkan oleh torpedo. Penenggelaman pertama kapal musuh oleh torpedo sejak Perang Dunia II,” katanya.
Namun maklumat kapal serangan itu tidak didedahkan, selaras amalan keselamatan operasi kapal selam.
Menurut Reuters, serangan itu berlaku di luar pantai selatan Sri Lanka, di kawasan Komando Indo-Pasifik AS.
IRIS Dena, sebuah kapal kelas Moudge yang ditugaskan kepada Armada Selatan Tentera Laut Iran dengan membawa 180 kru berada di kawasan itu selepas dilaporkan menyertai latihan ketenteraan di Teluk Bengal.
Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath berkata, 32 kru berjaya diselamatkan oleh anggota Tentera Laut Sri Lanka.
Jurucakap Tentera Laut Sri Lanka, Komander Buddhika Sampath berkata, pasukan penyelamat berusaha mencari mayat mangsa di lokasi kejadian.
Sementara itu, Caine berkata, buat pertama kali sejak 1945, sebuah kapal selam serangan pantas Tentera Laut AS menenggelamkan kapal musuh sehingga ke dasar laut menggunakan satu torpedo MK-48.
Beliau menambah, AS sudah menyerang lebih 2,000 sasaran di seluruh Iran termasuk 20 kapal perang Iran.
Tindakan itu menghalang kehadiran Tentera Laut Iran di kawasan operasi, setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




