'Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara' – PM

'Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara' – PM

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghargai peranan golongan hawa bukan hanya terbabit menguruskan keluarga semata-semata, sebaliknya turut menyumbang dalam memajukan negara.

Sempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Perdana Menteri menyifatkan golongan itu nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara.

Secara peribadi, beliau amat menghargai segala pengorbanan wanita khususnya dalam kehidupannya sendiri.

Kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak, beliau menzahirkan penghargaan buat mereka kerana sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran serta dukungan sepanjang perjuangan.

“Di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.

“Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta.

“Sempena Hari Wanita Antarabangsa, marilah kita bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita, serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top