Kalimah Allah: K’jaan Madani lacur kesucian Islam

Kalimah Allah: K’jaan Madani lacur kesucian Islam

UMAT Islam di negara ini telah digemparkan dengan satu keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penarikan semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penggunaan kalimah Allah dibolehkan penggunaannya bagi tujuan pembelajaran dalam penerbitan bahan agama bagi penganut agama Kristian.

Bagi tujuan memelihara kesucian agama Islam dan sensitiviti Umat Islam di negara ini, pada 10.3.2021 era pemerintahan PERIKATAN NASIONAL, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman Pemohon seperti berikut tanpa perintah untuk kos:

a. suatu deklarasi bahawa dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung di bawah Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan adalah hal Perlembagaan Pemohon untuk mengimport Penerbitan tersebut dalam menggunakan hak Pemohon untuk mengamal agama sendiri dan hak kepada pelajaran;

b. suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa Pemohon dijamin hak kesamarataan di sisi-sisi undang-undang dan dilindungi dari diskriminasi antara warganegara, antara lain, atas alasan-alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;

c. suatu deklarasi bahawa Arahan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dalam Kementerian Dalam Negeri Pekeliling: KDN S.59/3/9/A Klt. 2 bertarikh 5.12.1986 adalah salah di sisi undang-undang.

Walau bagaimanapun, rayuan telah ditarik balik oleh perayu (Menteri dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia) di mana Notis Pemberhentian telah difailkan pada 18.4.2023. Alasan rayuan ditarik balik adalah kerana mendapat arahan daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan yang bersetuju untuk menyelesaikan kes di atas secara baik seperti mana yang dinyatakan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan beliau hari ini bahawa keputusan menarik balik kes ini adalah keputusan Kementerian Dalam Negeri dan telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Madani.

Penarikan semula dan keengganan Kerajaan Campuran Barisan Nasional – Pakatan Harapan untuk meneruskan rayuan kes penggunaan kalimah Allah ini tidak menghormati larangan penggunaan kalimah Allah khususnya di Selangor sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. 

Lebih malang lagi, apabila tindakan yang dibuat Kerajaan Campuran pada hari ini telah melanggar dan menderhakai titah DYMM Sultan Selangor yang bertitah secara jelas bahawa ‘penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Selangor’. 

Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru umat Islam di negeri ini melihat kebobrokan Kerajaan Campuran Barisan Nasional – Pakatan Harapan dalam menguruskan dinamika kepelbagaian agama di negara ini dilihat gagal dan rakyat perlu mengubah kerajaan yang ada pada hari ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung.

SYEIKH MUHD MUJAHID SIKH NAWAWI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 16/5/2023

Advertisement