‘GOD’ adalah istilah yang digunakan di dalam Bible sejak sekian lama. Namun, hari ini ia cuba diterjemahkan dengan kalimah ‘Allah’. Sedangkan kalimah Allah ini sendiri asalnya daripada Bahasa Arab.
Isu Kalimah Allah bukan lagi boleh dipandang sebagai isu penterjemahan atau penerbitan semata-mata. Ia dilihat sebagai satu agenda untuk mengelirukan umat Islam, apatah lagi apabila ada pihak yang dilihat bersungguh untuk memperjuangkannya.
Penyalahgunaan
Penggunaan kalimah Allah di kalangan Kristian untuk menjustifikasikan ketuhanan Jesus, atau Tuhan Bapa (trinity) jelas akan membawa kepada penyalahgunaan yang sukar dibendung lagi di masa akan datang.
Sedangkan konsep ini jelas bertentangan dengan konsep Tauhid yang menyucikan Allah S.W.T daripada perkara yang tidak layak bagiNya.
Allah S.W.T berfirman;
Advertisement
لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.”
(al-Maidah: 72)
Teras berbeza
Kami berpendapat dengan penterjemahan ini bertujuan mengelirukan umat Islam. Umat Islam mengenal Allah S.W.T itu dengan jalur disiplin pengajian Ilmu Tauhid, yang telah diperhalusi oleh para ulamak sepanjang zaman.
Manakala teras kepada kepercayaan ‘God’ yang digunakan di dalam Bible telah diresapi pelbagai fahaman, antaranya Neo-Platonisme yang dibawa oleh Paulus. Kemudiannya dilegitimasikan oleh Raja Rom ketika itu, dalam Persidangan Synodes di Nicaea pada 325 M.
Kekeliruan
Pengeliruan terhadap kebenaran hakikatnya pernah dilalui oleh para Paderi Kristian. Penjajahan yang dilakukan oleh dunia Barat ke atas wilayah wilayah lain, telah menemukan bahawa di sana ada banyak agama lain, selain Kristian.
Di situ timbulnya wacana yang panjang untuk menentukan mana satu kebenaran yang hakiki. Wacana tersebut menemui jalan buntu. Lantas, mereka asalnya bersikap eksklusif, bertukar menjadi inklusif.
Iaitu meletakkan bahawa kebenaran itu bersifat relatif, dan boleh berbilang-bilang. Dengan kata lain, semua agama itu ada kebenarannya yang tersendiri. Di sinilah lahir fahaman pluralisme.
Relativisme dan pluralisme
Relativisme (kebenaran bersifat relatif) dan kemudiannya pluralisme, tumbuh dari benih liberalisme. Iaitu masing-masing berhak menentukan kebenaran masing-masing.
Fahaman seperti ini cuba ditanam ke dalam pemikiran umat Islam, kononnya nak menukar fahaman atau kepercayaan orang Islam, bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar, kepada fahaman bahawa semua agama itu benar.
Sedangkan kita perlu sedar bahawa kebenaran itu dari Allah S.W.T;
وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, …”
(al-Kahfi: 29)
Menolak pluralisme
Untuk mengatakan kebenaran itu adalah Islam, al-Quran telah menyediakan hujah-hujah yang jelas. Contohnya;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ
“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”
(al-Haj: 73)
Ayat ini jelas, agama lain yang menyembah selain daripada Allah S.W.T, tak mampu cipta apa-apa pun, sekalipun seekor lalat. Jadi, bagaimana ia boleh disembah dan dipuja?
Justeru, Islam itu tertegak dengan hujah. Mana-mana yang mendakwa bawa kebenaran, perlulah berhujah, bukannya dengan hanya sekadar dakwaan kosong.
Dokumen RAND
Di dalam Dokumen RAND Corporation yang bertajuk Building Moderate Muslim Networks meletakkan agenda Amerika untuk memenangi pertarungan dengan Islam. Agenda itu ialah dengan melahirkan orang Islam sederhana, yang tidak terlibat dengan politik.
Ciri-ciri orang Islam sederhana (moderate) yang diidamkan oleh Amerika ialah orang Islam yang berfahaman pluralisme, boleh menerima semua agama atas slogan toleransi.
Dokumen yang diterbitkan pada 2007 ini menggambarkan bagaimana Amerika bercita-cita besar untuk lahirkan orang Islam yang ‘tak kacau’ agenda politik mereka.
Justeru, dengan melabelkan gerakan Islam yang terlibat dengan politik itu sebagai ganas, ekstrem dan sebagainya, bertujuan menarik minat orang Islam untuk menjauhi kutub itu. Lantas akan melahirkan orang Islam yang menjauhi politik.
Orang Islam yang dimaksudkan mestilah berfahaman pluralisme, liberalisme dan sekularisme.
Kesimpulan
Agenda menterjemahkan perkataan God di dalam Bible kepada kalimah Allah dilihat sebagai salah satu agenda pembinaan rangkaian Moderate Muslim (orang Islam sederhana) secara terancang.
Ia dilihat mencetuskan kekeliruan di kalangan orang Islam, dan mengheret kepada pluralisme agama yang lebih parah. Apatah lagi Malaysia masih mengekalkan Islam sebagai agama rasmi.
Sekiranya fahaman pluralisme meresap, masyarakat awam akan melihat semua agama betul, dan bertukar tukar agama atau murtad itu bimbang akan menjadi normalisasi.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/5/2023