am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dalam suasana Syawal yang sepatutnya dirai penuh kegembiraan, pelakon, Kamal Adli, 42, mengakui Aidilfitri kali ini amat berbeza apabila tidak dapat meraikannya bersama anaknya, Hawra Uqaira.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, meskipun tidak berpeluang menyambut 1 Syawal bersama, dia tetap meluangkan masa lebih awal untuk membuat persiapan buat anaknya.
“Hawra akan beraya di sebelah sana, tetapi sebelum hari raya, saya sempat meluangkan banyak masa bersamanya.
“Sambutan Aidilfitri tahun ini juga tidak seperti dirancang apabila perayaan di kampung halaman ibunya di Pahang tidak dapat diraikan bersama pasangan seperti yang diharapkan.
“Sepatutnya tahun ini giliran beraya di Pahang, sebelah emak. Ini kali pertama untuk menantu-menantu beraya di sana, namun saya tidak berkesempatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kamal turut mengulas hubungannya dengan bekas isteri, Uqasha Senrose, yang kini lebih tertumpu kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak mereka.
“Kami jarang berhubung dan hanya berkomunikasi mengenai anak. Dalam keadaan sekarang, saya harap kami dapat sama-sama menjaga Hawra dengan sebaiknya.
“Apa sahaja yang dilakukan, kami akan fikirkan tentang Hawra terlebih dahulu. Itu yang paling penting,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




