Selepas tular beberapa komen balas netizen yang mengatakan makanan yang dijual pelakon, Zara Zya di bazar Ramadan yang terletak di Jalan Kebun tidak sedap, empunya badan tampil memberikan respons.
Dakwa pengguna media sosial tersebut, timbangan daging kambing perap yang dijual aktres itu tidak sampai 150 gram seperti yang tertera pada tanda harga yang diberikan.
Bahkan, kecewa dengan makanan yang dibeli, individu tersebut turut memberikan penilaian (rating) 1 daripada 10 terhadap makanan yang dijual.
Sedar dengan komen yang diberikan, Zara bagaimanapun mengucapkan terima kasih diatas pendapat yang diberikan.
Namun, dia berharap agar individu terbabit tidak menghasut orang lain daripada membeli makanan yang dijualnya.
“Terima kasih untuk semua comment. Apa yang tak baik saya akan perbaiki. Kalau nak yang solid, puas hati. Beli yang frozen punya ya. RM59 untuk 1.2 kilogram.
“Tak ada sayur kobis yang potong macam orang malas dan sos pun asing (Kobis tu saya potong sendiri secara manual).
“Kalau tak sedap, tak apa… jangan beli lagi. Tapi janganlah hasut orang lain pula ya,” balasnya.
Perkara itu dikongsi Zara menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Facebook miliknya.
