Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan pendirian pihaknya untuk membawa atlet menepati syarat dan layak tanpa mengira pasukan diwakili mereka ke pentas Sukan SEA Thailand 2025, Disember nanti.
Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, setiap atlet akan dinilai berdasarkan prestasi semasa mereka dan itu dilihat cukup baik untuk semua pelumba selain ia mengikut syarat utama daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Katanya, PKBM tidak akan memandang kepada satu pasukan sahaja, sebaliknya akan menggabungkan pelumba terbaik agar dapat membentuk kekuatan paling optimum, sekali gus mencerahkan peluang memenangi pingat.
“Kami sedar kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN, Jefri Ngadirin. Namun, kami akan memilih pelumba berdasarkan prestasi semasa, ranking dan kesesuaian dengan laluan perlumbaan akan digunakan.
“Jika semua pelumba yang memenuhi kriteria pemilihan datang daripada pasukan sama, maka itu tidak menjadi masalah.
“Tetapi, kami tidak akan hanya mengambil pelumba daripada Terengganu Cycling Team (TSG) semata-mata sehingga menutup peluang kepada pelumba pasukan lain.
“Melakukan begitu ibarat menembak kaki sendiri. Kami mahukan pelumba yang berada pada prestasi terbaik tanpa mengira pasukan mereka.
“Pada akhirnya, tanggungjawab kami menghantar pasukan terbaik untuk mempertahankan pingat emas,” katanya.
Sebelum ini, Jefri meminta PKBM membuat keputusan sama ada menghantar pelumba dari TSG atau Malaysia Pro Cycling (MPC) bagi mewakili Malaysia di Sukan SEA.
Untuk rekod, Malaysia memenangi emas acara lebuh raya beramai-ramai melalui pelumba TSG, Nur Aiman Zariff (Hanoi 2021) dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (Phnom Penh 2023).
Selain itu, Arif memaklumkan PKBM memulakan langkah pencarian pelumba terbaik sebelum menghantar nama rasmi kepada MOM sebelum 1 September.
“Saya akan bertemu dengan pengarah teknikal baharu kami, John Beasley untuk membincangkan proses pemilihan.
“John sebagai pengarah, kami akan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih berasaskan data dan prestasi apabila memilih pelumba.
“Kami akan gunakan pendekatan ini sebagai penanda aras selain penilaian jurulatih serta data daripada Institut Sukan Negara (ISN),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd