am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Kami tidak pernah menyalahkan takdir jauh sekali kesal sebaliknya bersyukur kerana dipilih Allah SWT untuk menjaga anak syurga,” kata Nurul Amirah Mohamad Napi, 41.
Nurul Amirah berkata, meskipun tanggungjawab itu mencabar untuk digalas, namun dia bersama suaminya, Mohamad Safuan Abdullah, 40, tetap cekalkan hati bagi memastikan ketiga-tiga anak mereka, Nurul Ariana Mohamad Safuan, 6; Mohamad Syahmi, 8; dan Nurul Amanda, 11, mendapat kasih sayang dan keperluan termasuk pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Thalib, Pasir Mas.
Katanya, dia tidak menyangka ketiga-tiga anaknya yang dilahirkan normal disahkan menghidap penyakit genetik iaitu atrofi otot spina (SMA) atau gangguan saraf tahap dua dan perlu diuruskan seperti bayi.
“Mohamad Syahmi dan Nurul Amanda disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia dua tahun selepas mengalami kesukaran untuk bangun, sebelum hilang keseimbangan badan untuk berjalan.
“Nurul Adriana pula langsung tidak boleh berjalan sejak lahir dan hanya mampu mengengsot,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kerusi Roda Orang Kurang Upaya (OKU) Asnaf Kelantan di sini, semalam.
Katanya, golongan ibu bapa terutamanya yang diuji dengan kehadiran anak OKU perlu sentiasa bersabar dan menghargai semua anak-anak walau apa sahaja keadaan mereka.
“Saya selalu berpesan pada diri dan suami supaya kuatkan semangat dan menjaga mereka bagaikan menatang minyak yang penuh.
“Anak-anak itu tidak tahu apa-apa dan mereka pun tidak minta dilahirkan begitu.
“Mereka adalah amanah Allah kepada kita, terimalah mereka seadanya,” katanya sambil menahan sebak.
Nurul Amirah berkata, bagi memastikan tahap kesihatan Nurul Adriana, Nurul Amanda, dan Mohamad Syahmi dalam keadaan stabil, mereka perlu menghadiri temujanji berjumpa dengan pelbagai pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bergantung kepada keperluan.
Katanya, dia dan suami sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kesihatan untuk terus menjaga Nurul Adriana, Nurul Amanda, dan Mohamad Syahmi yang dianggap sebagai saham akhirat dan tiket untuk mereka ke syurga.
“Lebih tersentuh, apabila saya sering kali mendengar Nurul Amanda meminta doa daripada Allah SWT seusai selesai menunaikan solat supaya menyembuhkan penyakit mereka adik beradik dan mahu berjalan seperti rakan lain,” katanya.
Nurul Amirah berkata, mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di kedai pemprosesan ayam dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sebelum ini ketiga-tiga anak saya menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk membeli keperluan mereka.
“Namun kini hanya Nurul Ariana sahaja yang mendapat bantuan bulanan daripada JKM berjumlah RM200, manakala Nurul Amanda, dan Mohamad Syahmi pula mendapat bantuan persekolahan RM150 yang diberikan dalam tempoh enam bulan.
“Saya perlu berjimat cermat kerana setiap bulan perlu mengeluarkan belanja RM500 untuk membeli keperluan ketiga-tiga anak selain membayar sewa rumah RM400 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-9595163.
© New Straits Times Press (M) Bhd




