'Kami bertiga bukannya AI'

'Kami bertiga bukannya AI'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Soalan yang selalu orang tanya bila duduk bertiga adalah kami ini AI (teknologi kecerdasan buatan) ke?

“Hakikatnya kami memang kembar tiga, bukan ‘AI’ kerana sudah ada sebelum AI wujud lagi,” kata Muhammad Faizal Mohd Zakaria, 43, ketika menceritakan pengalaman sering dilalui dengan kembarnya, Muhammad Fazli, 43, dan Muhammad Fazrin, 43.

Menurut Faizal, soalan itu kerap diajukan warganet setiap kali bersiaran langsung di TikTok kerana rata-rata keliru dengan wajah mereka yang seiras.

Katanya, kekeliruan itu timbul kerana bukan setiap masa mereka bersiaran langsung bertiga kerana dia dan Fazrin mempunyai kerja tetap manakala Fazli menguruskan sepenuh masa kedai gajet mereka.

“Jadi bila ‘live’ seorang atau berdua, ‘view’ tak naik tapi ramai masuk bila kami bertiga tampil bersama.

“Mungkin ada yang tak biasa tengok kembar tiga dewasa tetapi kami ‘okay’ saja.

“Kami pun rapat sejak kecil dan sejak tadika bersama, cuma waktu sekolah menengah kelas tak sama kerana diasingkan disebabkan kami kembar,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kedai gajet mereka, Tiga Bro di Taman Medan, di sini, yang menawarkan khidmat baik pulih gajet dan sewaan komputer riba.

Sementara itu, Fazli berkata, banyak pengalaman lucu dilalui dengan kembarnya sejak kecil hanya kerana wajah mereka seiras.

Katanya, bukan saja ibu bapa dan isteri malah pelanggan turut keliru ketika berurusan dengan mereka sejak membuka kedai gajet 10 tahun lalu.

“Pernah jumpa pelanggan, dia kata sudah hantar telefon bimbit, rupanya bukan dengan saya tapi kembar.

“Tiga empat tahun lalu pun, waktu balik kampung ketika hari raya, tidur ramai-ramai dengan kembar dan esoknya, isteri kembar sulung kejutkan saya kerana ingatkan saya suaminya.

“Bila bangun dan tenung wajahnya, baru dia sedar kesilapannya dan ia perkara biasa kerana emak dengan ayah pun tak cam sampai kena panggil nama.

“Ada juga kata saya kahwin tiga kerana pernah nampak dengan wanita berbeza sedangkan yang mereka nampak kembar saya.

“Di TikTok pun orang nampak pelik kerana biasa orang nampak kembar kecil sehingga kami yang ‘tua bangka’ ini muncul,” katanya.

Bapa dua anak itu berkata, dia tidak menyangka akhirnya mereka akan menjalankan perniagaan yang sama walaupun dua kembarnya mempunyai pekerjaan tetap.

“Nak elak sebenarnya tapi naluri kami sama dan akhirnya masuk dalam bidang ini (perniagaan) walaupun saya tak pandai pun baiki gajet kerana bukan minat dan ‘forte’ saya.

“Tapi saya anggap ini peluang kami berkumpul kerana bukan senang kami nak bersama,” katanya.

Adiknya, Fazrin yang menetap di Semenyih, Selangor berkata, dia dan kembarnya ada perbezaan dan cara masing-masing, cuma tidak nampak jelas kerana orang lebih melihat persamaan wajah mereka.

“Tinggi kami berbeza kerana saya yang lebih tinggi dan gaduh itu biasa terutama waktu kecil walaupun permulaannya bergurau.

“Itu perkara biasa tapi bila buka kedai gajet ini, kami dapat bermesra dan luangkan masa berjumpa walaupun masing-masing sudah berkeluarga.

“Setiap seorang kami ada peranan masing-masing dan saya banyak bantu sunting video untuk pemasaran di TikTok.

“Harapan saya perniagaan kami terus berkembang walaupun ada yang kata berniaga adik beradik akan gaduh.

“Tapi insya-Allah tidak, malah emak dan ayah pun percaya kami tetap akan bersama,” katanya yang bekerja tetap dalam bidang teknologi maklumat dan lazimnya membantu di kedai pada hujung minggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top