am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan XPDC memaklumkan mereka turut bersedih dengan berita pemergian isteri Ali iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, yang meninggal dunia akibat kanser payudara petang semalam.
Pemain dram kumpulan itu, Lola atau nama sebenarnya Saiful Rizla Kamaruddin, 52, ketika dihubungi berkata, mereka juga sangat terkejut dengan berita pemergian arwah isteri Ali itu.
“Sebelum ini, kalau Ali jatuh sakit atau dimasukkan ke mana-mana wad di hospital, arwah isterinya yang akan hubungi dan beritahu kami terlebih dahulu.
“Malah, kami juga dapat tahu Ali dimasukkan ke wad Hospital Cyberjaya dan arwah isterinya pula di Hospital Putrajaya pada penghujung Ramadan lalu,” katanya kepada Harian Metro.
Selain Lola, kumpulan XPDC Militia dianggotai Izo, Arif (gitar), Eddie (bass) dan Ali.
Bagaimanapun, tempat Ali kini digantikan oleh Zul Fazli atau Mamu memandangkan Ali berdepan masalah kesihatan.
Mengenai keadaan kesihatan Ali pula, kata Lola, dia ada menghubungi Ali dan bertanya khabar perkembangan kesihatannya dan arwah isterinya di wad sebelum ini.
“Ali juga beritahu keadaan kesihatannya semakin baik dan sudah nak keluar dari hospital ketika itu.
“Namun, salah seorang kru beritahu dalam kumpulan chat supaya kami mendoakan arwah isteri Ali yang dalam keadaan tenat pada jam 6 petang semalam.
“Tidak sampai 10 minit, kami diberitahu arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Bagaimanapun, kata Lola, mereka juga tidak mengetahui isteri Ali ada menghidap penyakit kanser payudara sebelum ini.
“Kami hanya dapat tahu penyakit yang dihidapi arwah selepas diberitahu kawan-kawan yang rapat dengannya.
“Sama-samalah kita doakan semoga arwah (isteri Ali) ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Harian Metro melaporkan, isteri Ali, Sharifah Azuwanna meninggal dunia akibat kanser payudara di Hospital Putrajaya pada jam 6.08 petang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan, Bandar Baru Salak Tinggi jam 11.10 malam semalam.
Terdahulu, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah sejak 24 Mac lalu, manakala Sharifah Azuwanna pula dirawat di Hospital Putrajaya.
Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



