mohdsyazwan@hmetro.com.my
Phnom Penh (Kemboja): “Ini bukan kunjungan biasa. Saya percaya, kami dipilih oleh Allah sendiri untuk hadir menyaksikan penderitaan saudara-saudara kita di sini.”
Demikian luah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria selepas menyertai misi bantuan kemanusiaan ke perkampungan Swai Rekom sekitar Sungai Tonle Sap, di sini.
Beliau berkata, peluang turun padang dan menyaksikan sendiri kehidupan golongan yang hidup serba kekurangan atas perahu sungguh menyentuh hati dan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Saya percaya ini bukan satu kebetulan. Allah jemput kami ke sini supaya dapat melihat sendiri bagaimana peritnya hidup masyarakat Islam yang tinggal di atas air.
“Mereka tidak punya rumah di darat, apatah lagi tanah untuk berteduh,” katanya, ketika ditemui di program pengagihan beras sumbangan Bank Rakyat di Kampung Swai Rekom.
Beliau berkata, misi itu bukanlah yang pertama dan terakhir kerana Bank Rakyat akan terus mencari ruang untuk menyumbang lebih banyak bantuan kepada komuniti berkenaan pada masa hadapan.
“Ini adalah lawatan kali kedua. Hari ini kita agihkan beras sebanyak 10 kilogram setiap keluarga sebagai bantuan asas. Selain itu, kita juga bawa sedikit pakaian dan keperluan harian lain. Insya-Allah, selepas ini kita akan nilai apa lagi bentuk bantuan yang sesuai,” katanya.
Beliau turut mengakui, pengalaman itu memberi kesedaran mendalam bahawa rakyat Malaysia sering kali terleka dengan keselesaan yang dimiliki.
“Saya sangat terharu dan bersyukur. Rasa sedih, insaf dan dalam masa sama, rasa syukur yang mendalam kerana diberi peluang untuk melihat realiti kehidupan umat Islam di tempat lain. Inilah masa untuk kita bermuhasabah,” katanya.
Misi bantuan terbabit adalah sebahagian daripada Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat yang disumbangkan pendeposit menerusi Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dengan aktif melakukan ibadah korban dalam dan luar negara selain turut menyalurkan kepada golongan memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd