Bandar Gaza: Ketika dron berlegar di atas kepala di bawah mentari pagi, rakyat Palestin dengan cermat mengangkat sehelai selimut yang menutupi mayat dari runtuhan, mangsa terbaharu pengeboman tanpa henti oleh Israel di bandar Gaza.
Pemandangan menyayat hati itu perkara biasa di pusat bandar utama Semenanjung Gaza, yang mana Israel meningkatkan serangan pada operasi darat yang dilancarkan pada Selasa.
Pengeboman semalaman itu meranapkan sebuah blok kediaman di utara bandar itu hingga menjadi timbunan runtuhan.
Seorang lelaki memasukkan kepala dan tangannya di bawah bongkah konkrit dalam usaha terdesak mencari mangsa yang terselamat.
“Ada kira-kira 50 orang di dalam, termasuk wanita dan kanak-kanak. Saya tak tahu kenapa mereka bom tempat ini,” kata Abu Abd Zaqout, sambil menambah bangunan itu didiami oleh keluarga pakciknya.
“Mengapa bunuh kanak-kanak yang sedang nyenyak tidur, sehingga mayat mereka berkecai?
“Kami keluarkan kanak-kanak itu dalam keadaan hancur,” katanya.
Dalam satu kenyataan, keluarga Zaqout memaklumkan 23 ahli keluarga mereka terbunuh dalam serangan ke atas rumah mereka.
Tapak serangan dikelilingi oleh kemusnahan semuanya, dan mereka yang membantu operasi menyelamat kelihatan begitu kecil berbanding timbunan konkrit dan logam yang hancur.
Satu keluarga lain dilihat cuba memuatkan barangan ke dalam kereta yang diletakkan di atas jalan yang hampir tidak boleh dilalui, penuh dengan serpihan runtuhan.
“Mereka mengebom seluruh kawasan pada waktu malam, tiga rumah dan rumah jiran.
“Semua mangsa adalah kanak-kanak, orang tua dan wanita. Mereka semua di bawah runtuhan,” kata penduduk Bandar Gaza, Mohammed al-Bardawil.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 12 mayat dikeluarkan selepas lebih lapan jam operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
Ketika dihubungi oleh AFP, tentera Israel berkata mereka akan ‘cuba untuk menyemak laporan itu’.
Sekatan media di wilayah itu dan kesukaran untuk mengakses banyak kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas maklumat dan angka yang diberikan oleh agensi pertahanan awam atau tentera Israel.
Pada Selasa, Israel mengumumkan melancarkan serangan darat besar-besaran yang sudah lama dirancang ke atas bandar Gaza, dan menyatakan tenteranya kini bergerak lebih jauh ke pusat bandar itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menganggarkan hampir sejuta orang tinggal di bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, yang mana Israel berulang kali memberi amaran supaya orang awam berpindah ke selatan.
Penduduk kejiranan Al-Sabra, Ibrahim Al-Besheiti, 35 tahun, memberitahu AFP situasi semasa adalah ‘amat dahsyat’.
“Bunyi pesawat tidak pernah berhenti, dron dan jet pejuang memenuhi langit setiap masa.
“Kami sangat takut, dan ramai orang di sekeliling kami sudah melarikan diri. Kami tak tahu apa akan jadi pada kami,” katanya.
Besheiti berkata pengeboman semalaman berhampiran rumahnya begitu kuat sehingga memecahkan tingkap dan pintu tertanggal.
“Kami dengar jeritan dari bawah runtuhan.
“Pemandangan berulang ini menakutkan kami dan membuktikan bahawa tiada lagi nilai kemanusiaan di dunia ini,” katanya.
Di kejiranan Sheikh Radwan di utara, Maysa Abu Jamaa, 38, berkata tembakan dari kenderaan tentera, serangan dron dan bedilan artileri berlaku secara berterusan.
Satu letupan besar pada waktu malam mengejutkan keluarganya dari tidur, katanya, sambil menambah bahawa anak-anaknya ‘menjerit dan menangis dalam ketakutan.
“Kami hidup dalam kegelapan yang berterusan dan tidak nampak sebarang jalan keluar,” katanya.
Agensi pertahanan awam berkata tentera Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 37 orang sejak subuh di seluruh wilayah Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




