harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli keluarga Allahyarham Suri Narudin, 53, menarik nafas lega dan bersyukur kerana akhirnya dapat menyempurnakan jenazah selepas identitinya disahkan pihak berkuasa hari ini.
Anak saudara mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sasha berkata, ketika ini dia sedang dalam perjalanan menuju ke hospital bagi tindakan selanjutnya.
“Alhamdulillah, akhirnya identiti ibu saudara saya dapat disahkan dan kami sekeluarga berharap dapat menguruskan jenazah secepat mungkin.
“Kami sekeluarga juga berharap agar pihak polis dapat menyelesaikan siasatan sebaik-baiknya supaya mereka yang melakukan perbuatan kejam ini dihadapkan ke mahkamah.
“Saya berdoa agar si pelaku menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan kejam yang dilakukan ke atas ibu saudara saya ini,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu rakan karib mangsa yang juga seorang penyanyi, Mac Ruhayu berkata, jenazah mungkin tidak diterbangkan pulang ke Sarawak sebaliknya akan dikebumikan di Semenanjung.
Katanya, Allahyarham mungkin dikebumikan di tanah perkuburan di Gombak, Selangor atau di Jasin, Melaka namun buat masa ini perkara ini belum diputuskan oleh keluarga mangsa.
Terdahulu Harian Metro melaporkan polis mengesahkan mayat yang ditemui dalam beg yang ditanam dekat sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, 18 Disember lalu adalah Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilapor berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperolehi dan ia sepadan dengan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Beliau turut mengesahkan bahawa laporan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima dan mendapati profil spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat dengan sampel DNA daripada waris mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




