'Kami masih berharap ayah masih hidup'

'Kami masih berharap ayah masih hidup'

Alor Setar: “Kami masih menaruh harapan tinggi ayah masih hidup walaupun menunggu maklumat terbaru berkaitan ayah meskipun sudah 27 hari berlalu,” kata Suraiya Izzati Sabari, 29.

Suraiya Izzati adalah anak sulung Sabari Baharom, 62, pesara kewangan sebuah agensi kerajaan yang masih hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling pada 3 September lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih menunggu perkembangan kes berkaitan bapa mereka dan sangat merinduinya.

“Kami sentiasa melakukan solat hajat membaca surah Yassin supaya ayah dipertemukan dengan segera walau apa keadaan sekali pun.

“Ramai kenalan ayah mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di masjid berhampiran kawasan rumah mereka malah kenalan ayah yang berada di Kluang, Johor pun memberitahu mereka turut mengadakan solat hajat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, rakan mereka ketika sekolah menengah pun turut adakan solat hajat dan bacaan yasin melalui Google Meet.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, adik keduanya, Nur Aina Sofiya, 28, yang bertugas sebagai guru di Sarawak sering mengigau menyebut nama bapa mereka mungkin kerana rindu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top