am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Dua lelaki warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah sehingga mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan cara berpakaian mencolok mata pada program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024, Jumaat lalu.
Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap warga Taiwan, Arthur Wang, 66, dan warga India, Satyanarayana Prasad Papoli, 70.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4 petang hingga jam 6 petang. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Ab Latif, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong.
Terdahulu, Abdul Ghafar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada warga asing dan rakyat tempatan supaya berpakaian sopan selain mengikut adat budaya negara yang dilawati.
Arthur yang juga pesara dan aktivis dalam rayuannya memohon denda ringan dengan alasan tidak arif dan memahami budaya di negara ini.
Arthur juga memberitahu mahkamah, pakaian dipakainya adalah pakaian Orang Asli di ‘Orchid Island’ di Taiwan dan dia memakainya untuk mempromosikan budaya itu.
“Saya minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini hingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.
Sementara itu, Satanarayana yang juga bekas peguam dalam rayuannya turut memohon maaf dan meminta supaya denda dikurangkan kerana dia sudah berusia 70 tahun, mempunyai isteri yang bertugas sebagai doktor dan datang ke sini untuk mengikuti program amal.
Majistret kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM5,000 setiap seorang dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda.
Kelmarin, polis menahan tiga lelaki berusia 39 tahun hingga 70 tahun di sebuah hotel di Desaru di sini, selepas dipercayai berpakaian tidak senonoh dan lucah.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




