am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pasukan pembelaan mewakili lima remaja bawah umur yang didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memaklumkan permohonan mereka untuk penggantungan prosiding inkues kes itu bukan bertujuan melengahkan usaha mendapatkan keadilan.
Sebaliknya, Datuk Ram Singh menegaskan pasukannya hanya menggunakan hak mereka di bawah undang-undang.
“Apabila kami memohon penangguhan, bukan kerana mahu melengahkan inkues. Kami mohon penangguhan kerana itu adalah proses undang-undang,” katanya selepas pendengaran permohonan pihak berkepentingan untuk inkues kematian Zara Qairina hari ini.
Ram berkata, pihak pembelaan turut menekankan kepentingan untuk memastikan semua saksi, termasuk saksi kanak-kanak dilindungi sepenuhnya sepanjang inkues berlangsung.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima senarai saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding inkues itu.
“Kami juga ingin tahu siapa saksi kanak-kanak dan adakah lima remaja terbabit yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak baru-baru ini akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Ram berkata, pengendalian dan arahan kepada saksi adalah perkara penting, dan pihak pembelaan berharap prosiding dijalankan dengan teratur serta adil.
“Inkues adalah untuk mencari fakta. Kami hanya cuba merungkai kebenaran dan kebenaran itu akan muncul di mahkamah melalui keterangan saksi serta proses soal balas,” katanya.
Beliau berkata, pihak pembelaan berhak mencabar sebarang isu atau bukti yang boleh menjejaskan anak guam mereka, selaras peruntukan undang-undang.
“Undang-undang sangat jelas, kanak-kanak mesti dilindungi. Itulah asas kepada hujahan kami,” katanya.
Terdahulu, Ram dan pasukan peguam membabitkan Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan memohon untuk diterima sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues, serta memohon supaya pendengaran inkues ditangguhkan.
Ram dan pasukannya mewakili seorang daripada remaja bawah umur yang dikaitkan dengan kes buli Allahyarham Zara Qairina.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina membantah permohonan itu dengan menyatakan tindakan membenarkan pihak yang didakwa membuli untuk campur tangan dalam prosiding adalah suatu penghinaan.
Shahlan berhujah bahawa inkues perlu diteruskan seperti dijadualkan, sambil memaklumkan bahawa ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat sudah lama menanti inkues itu dan penggalian semula jenazah anaknya satu keputusan yang sangat sukar.
Shahlan hadir bersama pasukan peguamnya membabitkan Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili empat lagi pesalah juvana, turut menyokong hujahan pasukan Ram berhubung permohonan dibuat.
Pada prosiding hari ini, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai koroner, memutuskan inkues akan diteruskan seperti dijadualkan, tetapi akan didengar di hadapan koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Azreena dimaklumkan oleh pegawai pendakwa bahawa senarai saksi dijangka dimuktamadkan hari ini atau esok dan semua dokumen berkaitan dijangka siap menjelang Selasa ini.
Selepas itu, semua pihak berkepentingan akan diberikan akses kepada dokumen berkenaan.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja yang dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina Allahyarham Zara Qairina.
Zara Qairina,13, pelajar tingkatan satu sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 1.07 tengah hari keesokan harinya.
Kematiannya mencetuskan gelombang solidariti masyarakat dengan gesaan daripada pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk siasatan menyeluruh demi keadilan.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd