'Kami selesa cara begitu'

'Kami selesa cara begitu'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

TINDAKAN pasangan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaburkan atau menutup wajah dua anak dalam foto keluarga mereka di media sosial terus menjadi tanda tanya ramai.

Sekalipun perkara itu dianggap hak privasi keluarga terbabit, namun ada dalam kalangan peminat masih meluahkan perasaan terkilan melihat wajah dua zuriat comel pasangan terbabit iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas yang kini berusia setahun.

Pasangan Noor Neelofa, 35, atau lebih dikenali sebagai Lofa dan Muhammad Haris, 29, pula PU (Pencetus Ummah) Riz berpendapat mereka mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

“Kami selesa dengan apa yang dibuat sekarang iaitu wajah Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas tidak terlalu ditonjolkan. Walaupun wajah Muhammad Bilal orang dah tengok, tapi kami tetap ‘blur’ wajahnya.

“Sebenarnya ramai yang dah lihat wajah Abdullah Abbas di luar, namun kami tetap tidak mempunyai perancangan berkongsi kepada umum.

“Bukan apa, nanti macam mana pun, kami akan hantar dia dekat sekolah. Lagipun ramai orang dah tengok dia sebenarnya. Cuma kami tak ada la nak tonjolkan. Tapi, kalau nak tengok, saya rasa akan ternampak juga,” kata mereka.

Lofa dan Riz mengakui mereka amat bahagia dan gembira menikmati momen sebagai ibu bapa bersama anak-anak.

Dek kerana itu, Lofa menjelaskan lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama anak-anaknya.

“Saya pun ada cakap pada suami, saya mahu luangkan masa di rumah sebab ia adalah ‘dream job’ (impian) saya nak jadi suri rumah dan ibu sepenuh masa untuk anak-anak.

“Seperti bisnes (Nunha Store) ini pun kami sedang mencari orang boleh ambil alih bahagian saya. Sebab saya nak duduk di rumah sahaja. Saya ibu yang ‘hands on’.

“Walaupun ada pembantu, tapi saya tetap mandikan anak, memasak dan sebagainya. Malah, buat masa ini saya nak fokus untuk besarkan anak-anak terlebih dahulu,” katanya.

Pembabitan dalam seni diletakkan di tepi buat seketika dengan projek terakhir Neelofa adalah program Next To Neelofa Ramadan lalu.

“Tawaran ada, tapi untuk berlakon buat masa ini memang tidak. Bukan bermaksud saya nak bersara, tapi mahu lebih masa di rumah.

“Namun, saya tak kisah buat sesuatu sekali sekala untuk industri hiburan terutama apabila anak-anak dah besar nanti,” katanya.

Masak untuk keluarga

Neelofa seronok bercerita pengalamannya memasak untuk suami dan anak-anak. Tambah lagi Riz lebih gemar anak-anak mereka makan makanan yang dimasak di rumah.

“Syukur saya ada masa terluang di rumah. Suami suka anak-anak menjamah makanan dibuat di rumah sendiri, jadi saya elak beri makanan diproses.

“Saya bangun awal pagi untuk siapkan sarapan mereka. Makanan yang saya sediakan antaranya biskut, nugget, kentang dan capati.

“Saya suka memasak, tapi tidak memasak setiap hari. Alhamdulillah, ada sebab yang baik untuk bangun pagi, buat sarapan,” katanya.

Riz pula memuji masakan Neelofa dan menganggap isterinya sangat bagus apabila memasak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top